Johor tangguh laksana pelancongan perubatan - Utusan Malaysia

Johor tangguh laksana pelancongan perubatan

ONN Hafiz (dua kanan) menyediakan bubur lambuk dalam program Bubur Lambuk Southern Volunteers, di Johor Bahru, Johor. -UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Industri pelancongan perubatan Johor yang turut terjejas akibat Covid-19 masih belum dapat digerakkan semula ekoran kekangan terhadap kebenaran rentas negeri dan sempadan antarabangsa, ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perkara itu telah dibincangkan sebanyak dua kali menerusi penubuhan satu jawatankuasa khas, sebelum ini.

Menurut beliau, disebabkan kekangan itu, pihaknya bagaimanapun terpaksa menangguhkan terlebih dahulu perancangan untuk melancarkan program itu kembali.

“Program ‘Medical Tourism’ masih lagi berada dalam peringkat akhir pelaksanaannya, namun selagi sempadan tidak dibuka, susah untuk kita lancarkan jadi kita tangguh dahulu.

“Seperti semua maklum, dalam situasi ini sektor pelancongan merupakan yang pertama terjejas dan akan menjadi yang terakhir untuk pulih,” katanya semasa menghadiri Program Bubur Lambuk Southern Volunteers, di sini hari ini. 

Tambah Onn Hafiz, kerajaan negeri juga telah menyalurkan pelbagai bantuan kepada pemain industri pelancongan termasuklah agensi pelancongan, pemandu pelancong dan juga pengusaha taman tema bagi membantu mereka berdepan pandemik Covid-19.

Sementara itu, berhubung program berkenaan, beliau memberitahu seramai 250 sukarelawan dari seluruh negeri terlibat untuk menyediakan kira-kira 15,000 bungkus bubur lambuk.

“Program ini membabitkan sukarelawan pelbagai kaum dari seluruh Johor, iaitu bubur lambuk yang disediakan akan diagihkan kepada semua bazar Ramadan di daerah ini.

“Selain itu, program sama akan turut digerakkan di peringkat daerah dalam usaha memupuk semangat sukarelawan dalam kalangan generasi muda di negeri ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN