JIPS siasat dakwaan salah guna kuasa pegawai kanan polis di Sarawak - Utusan Malaysia

JIPS siasat dakwaan salah guna kuasa pegawai kanan polis di Sarawak

ZAMRI YAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Satu siasatan dijalankan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) berhubung aduan salah laku serta salah guna kuasa membabitkan seorang pegawai kanan polis di Sarawak.

Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya berkata, siasatan itu dibuat selepas pihaknya menerima beberapa aduan berhubung perkara itu.

“JIPS sudah memulakan siasatan ke atas semua aduan yang diterima secara menyeluruh dan telus.

“Tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya terdapat keterangan yang menjurus kepada wujudnya apa-apa salah laku dan salah guna kuasa pegawai kanan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah kenyataan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan melindungi mana-mana pegawai kanan dan pegawai rendah yang terbabit dalam sebarang penyelewengan, salah laku serta salah guna kuasa.

Terdahulu, tular penyebaran satu laporan di dalam Facebook oleh seorang individu mendakwa pegawai kanan itu sebagai pelindung utama kepada sindiket perjudian, penyeludupan dan kongsi gelap di Sarawak. 

Susulan itu, siasatan polis ke atas beberapa isu tohmahan yang keluarkan dalam hantaran Facebook tersebut, mendapati ia adalah tidak benar dan berunsur fitnah semata-mata.

Justeru, polis memburu suspek dipercayai menggunakan nama samaran dan akaun Facebook palsu berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Senior Asisten Komisioner Lukas Aket berkata, polis akan menjejak suspek dengan pelbagai kaedah termasuk menjalinkan kerjasama dengan pihak Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (MCMC) walaupun suspek menggunakan nama samaran serta akaun palsu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN