SEREMBAN: Mayat Mohammad Syafiq Mustaqim Mohammad Fadly, 8, yang dikhuatiri lemas selepas tergelincir ketika bermain di longkang di Flat Cempaka, Garden Avenue, Seremban 2 dekat sini, kelmarin ditemukan pagi ini.
Ketua Zon Seremban Jabatan Bomba dan Penyelamat, Khair Amir Ahmad berkata, mayat ditemukan pada pukul 7.30 pagi oleh anggota bomba ketika melakukan rondaan di kolam takungan air di Taman Arowana Indah, pagi tadi.
“Semasa rondaan anggota bomba menemukan mayat timbul di permukaan air tidak jauh 30 meter dari pintu kunci kolam tebatan banjir yang dibuka semalam. Kami mengesyaki kemungkinan mayat mangsa terbenam di dalam lumpur.
“Kami menemukan mayat mangsa dalam keadaan telingkup dalam keadaan tidak berbaju dan seluarnya sudah lurut. Ketika ditemui muka mangsa dalam keadaan mengelupas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 4 petang, Sabtu lalu, mangsa yang mesra dipanggil Aqim oleh ahli keluarganya tergelincir ketika bermain di longkang bersama abangnya yang berusia 10 tahun dan seorang rakan berusia 12 tahun.










