Industri hotel Sabah bertahan - Utusan Malaysia

Industri hotel Sabah bertahan

MARTIN KONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Industri perhotelan di negeri ini kini dalam situasi bertahan apabila Sabah diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pemangku Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Sabah, Hafizan Wong berkata, ahli-ahli MAH Sabah mula menawarkan pelbagai pakej menarik dengan harga yang rendah untuk penginapan serta makan dan minum.

Katanya, tawaran harga yang rendah ini amat penting bagi menarik pelancong tempatan kerana ia membolehkan industri perhotelan menampung kos operasi yang diperlukan serta membayar gaji kakitangan dan bil utiliti.

Ketika ini, keuntungan bukan lagi keutamaan sebaliknya, mereka hanya ingin bertahan kerana sektor pelancongan terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Pengurus Besar Hotel Promenade Kota Kinabalu ini berkata, apabila kebenaran rentas daerah mengikut zon diberikan, ia membantu industri perhotelan menerima kemasukan pengunjung yang lebih ramai terutama pada hujung minggu.

Keadaan ketika ini jauh lebih baik berbanding semasa sekatan merentas daerah dikuatkuasakan kerana tiada pergerakan dibenarkan antara satu daerah ke daerah lain.

“Pada masa ini hampir semua hotel di Sabah sudah mula beroperasi namun dalam kapasiti kakitangan yang terpaksa dikurangkan. Tidak semua kakitangan diarahkan turun bekerja kerana tiada program atau acara yang dianjurkan di hotel-hotel,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Exco MAH Sabah, Martin Kong berkata, kebenaran merentas daerah mengikut zon membolehkan industri pelancongan di Ranau kembali ‘bernafas’.

Pengurus Besar Sabah Tea Resort ini berkata, sejak Ranau diletakkan di dalam zon satu, restoran ladang teh Sabah mula menunjukkan peningkatan pelanggan sebanyak 15 peratus berbanding semasa larangan merentas daerah dikuatkuasakan.

Katanya, kebanyakan pengunjung yang datang ke ladang teh Sabah itu datangnya dari luar Ranau jadi, pembukaan sempadan daerah mengikut zon cukup melegakan penggiat industri pelancongan di Ranau.

Bagaimanapun, hotel-hotel yang berada di kawasan luar bandar masih berusaha untuk bertahan kerana kurang mendapat pelanggan. Biarpun kebenaran merentas daerah mengikut zon diberikan namun, ramai pengunjung yang datang untuk trip harian sahaja. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya