PETALING JAYA: “Palsu.” Demikian jawapan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham yang menafikan dirinya ada menulis surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam surat itu, Muhammad Hilman menjelaskan tuduhan yang dikaitkan dengan beliau yang kononnya terlibat dalam rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) bersama seorang wanita adalah satu fitnah.
Bercakap dengan Utusan Malaysia, ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia itu menafikan dirinya ada menulis surat kepada perdana Menteri.
“Fake (Palsu),” itulah jawapan ringkas yang diberikan oleh Muhammad Hilman apabila dihubungi wartawan Utusan Malaysia.
Kandungan surat yang didakwa ditulis oleh Muhammad Hilman itu turut menyatakan bahawa ia merupakan satu usaha pihak pembangkang untuk menjatuhkan kredibilitinya dan Perikatan Nasional (PN).
Muhammad Hilman Idham yang juga Setiausaha Politik Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagaimanapun hanya menafikan kesahihan surat tersebut dan bukannya ketulenan rakaman yang tular di media sosial baru-baru ini.
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) itu memaparkan seorang lelaki didakwa mirip ahli politik itu memapah seorang wanita yang dipercayai dalam keadaan mabuk memasuki bilik hotel tular di laman Facebook.
Muhammad Hilman yang menyangkal kandungan surat itu mahu orang ramai untuk fokuskan pada berita yang mengaitkan isu pandemik berbanding khabar angin yang sia-sia.
“Lebih baik laporkan cerita mengenai Covid-19 berbanding melayan berita politik yang toksik begini.
“Ia hanya merosakkan minda. Saya berharap orang ramai maklum bahawa kandungan yang dinyatakan dalam surat itu adalah palsu,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE
habis/