PETALING JAYA: Pas meminta semua pihak menghentikan budaya fitnah yang hanya bertujuan mencemarkan imej parti dan pemimpin politik semata-mata.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangan Pas Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, tuduhan yang dilemparkan terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali seharusnya disekalikan dengan bukti konkrit.
Bagaimanapun, katanya, Pas terbuka menerima apa jua keputusan jika pemimpinnya benar-benar melakukan kesalahan.
“Perkara ini perlu diambil tindakan, Khairuddin sudah pun menafikannya dan beliau juga akan buat laporan polis, jadi kita serahkan kepada pihak berkuasa. Kalau ada bukti jelas, tindakan wajar diambil.
“Ini kerana, Pas melalui politik matang memegang prinsip benar tetap benar, yang salah tetap salah,” katanya.
Justeru, beliau menganggap budaya fitnah terhadap pemimpin atau mana-mana pihak lain perlu dihentikan dengan segera.
“Perkara yang bersifat fitnah ini perlu diambil tindakan. Budaya fitnah ini perlu dihentikan daripada terus berleluasa. Fitnah kepada Pas, UMNO, malah fitnah terhadap DAP sekalipun perlu dihentikan.
“Kita tidak akan berkompromi dengan sebarang fitnah, terutamanya apabila tohmahan ini disebarkan oleh pihak yang tidak berwibawa di media sosial dengan menyebarkan propaganda dan fitnah,” katanya.
Khairuddin berdepan kontroversi apabila didakwa ditahan polis ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) Perasing di Kemaman bersama seorang usahawan wanita, Mawar Karim iaitu bekas isteri pelakon tempatan, Fizo Omar. – UTUSAN ONLINE









