PUTRAJAYA: Seramai 12,831 sukarelawan terdiri daripada kalangan belia mendaftar sebagai sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (myVAC) sejak dibuka Februari lalu.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, myVac merupakan satu inisiatif yang ditubuhkan hasil kerjasama kementerian ini dengan Kementerian Kesihatan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) dalam membantu melancarkan program imunisasi kerajaan.
Menurut beliau, program berkenaan menempatkan individu yang bersedia berkhidmat dalam pasukan vaksinasi.
“Program mobilisasi sukarelawan ini menjadi instrumen amat penting dalam program vaksinasi Malaysia bagi mencapai imuniti kelompok.
“Pada masa sama, keberadaan sukarelawan ini membolehkan urusan di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berjalan dengan lebih lancar dan berkesan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu beliau mengadakan lawatan ke PPV Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi meninjau sukarelawan myVAC yang bertugas di PPV berkenaan.
Yang turut hadir pada sesi lawatan berkenaan ialah Naib Cancelor UKM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Ikhwan Toriman; Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk M. Noor Azman Taib dan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Datuk Wasitah Yusof.
Reezal Merican turut melahirkan rasa penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang diterajui MOSTI dan orang awam yang mendaftar untuk menyertai program ini.
“Alhamdulillah sehingga semalam, lebih 10 juta orang telah pun mendaftar untuk menyertai program (PICK) ini.
“Saya berharap lebih ramai lagi akan mendaftar melalui peranan sukarelawan myVAC yang turut membantu dalam soal promosi serta hebahan,” tambah beliau.
PPV UKM dikategorikan sebagai PPV bersasar atau PPV Khas yang diwujudkan untuk pemberian vaksin jenis AstraZeneca.
Tiga lagi PPV Khas seumpamanya adalah di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Universiti Malaya (UM) dan Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC).