PETALING JAYA : Pengamal media di negara ini tidak wajar diugut dengan proses pendakwaan kerana mereka perlu diberi ruang menyampaikan laporan sejajar hak kebebasan bersuara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbuatan tersebut adalah satu amalan tidak bertanggungjawab di dalam sebuah negara yang berpaksikan kepada prinsip demokrasi serta sekali gus menampakkan kelemahan kerajaan pada hari ini daripada semua aspek.
“Wartawan dan pihak media mesti diberi ruang dan kebebasan dalam melapor selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak itu.
“Keterbukaan dan kritikan tidak harus diinjak malah mesti dirai dan dihormati sekiranya kita benar-benar mahu membangun tamadun yang beretika dan cemerlang,” katanya dalam kenyataan bersempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, justeru Hari Kebebasan Akhbar Sedunia pada setiap 3 Mei bertujuan untuk menghargai peranan para wartawan dan pengamal media dalam memberikan laporan terbaik kepada masyarakat.
Katanya, ia juga dapat meningkatkan kesedaran umum mengenai betapa pentingnya aspek kebebasan akhbar di dalam mana-mana masyarakat yang terbuka dan demokratik.
“Ia juga meningatkan semua pihak akan tugas mereka untuk menghormati dan mendukung hak kebebasan bersuara seperti yang termaktub di bawah Artikel 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.
“Namun lain halnya di Malaysia apabila para wartawan dan pihak media diganggu-gugat serta diancam pendakwaan dalam menyampaikan laporan yang mungkin tidak enak pada halwa telinga pemerintah,” katanya.- UTUSAN ONLINE