Guru, kakitangan sekolah 'belanja' pakaian raya - Utusan Malaysia

Guru, kakitangan sekolah ‘belanja’ pakaian raya

RODZIAH Mohd. Razali (kanan) mengenakan songkok di kepala kedua orang murid anak yatim ketika berbelanja pakaian baharu hari raya di sebuah pasar raya bandar Jerantut, Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Tugas guru bukan sahaja hanya mendidik di sekolah, tetapi menzahirkan kasih sayang dengan menjaga kebajikan pelajar tatkala ada dalam kalangan mereka yang ditimpa kesusahan.

Berasaskan hakikat ini, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jerantut Jaya, bandar Jerantut memberikan keceriaan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi kepada 32 orang murid yang terdiri daripada anak yatim dan golongan kurang berkemampuan apabila menerima pakaian baharu untuk berhari raya.

Hasil usaha seramai 68 orang guru sekolah tersebut beramal jariah mengumpulkan dana sejak awal Ramadan lalu, akhirnya murid berkenaan dapat berbelanja pakaian hari raya dengan nilai masing-masing berjumlah RM100 seorang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, guru penyelaras program berkenaan, Siti Norma Ibrahim berkata, seramai 17 orang murid lelaki dan 15 perempuan merupakan anak yatim yang tersenarai dalam data sekolah dibawa berbelanja pakaian hari raya di sebuah pasar raya di bandar Jerantut.

“Murid berkenaan dibawa ke pasar raya dan memilih sendiri set pakaian hari raya dan kelengkapan diri dengan dibantu oleh guru.

“Kita amat bersyukur kerana dapat melestarikan tanggungjawab di bulan Ramadan ini dengan memberikan keceriaan kepada anak-anak yatim ini, iaitu murid sekolah ini yang sangat memerlukan pembelaan khususnya dapat bergembira pada hari raya seperti insan lain yang bernasib baik,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, Guru Besar SK Jerantut Jaya, Rodziah Mohd. Razali berkata, beliau berterima kasih kepada guru dan kakitangan sekolah kerana berusaha mendermakan dana masing-masing bermula kutipan sejak awal Ramadan lalu untuk meneruskan usaha murni itu.

“Amal jariah membantu anak yatim dan murid kurang berkemampuan ini kita lakukan setiap tahun apabila menjelang Aidilfitri bagi membolehkan mereka gembira berhari raya di samping galakan untuk terus berusaha dan berjaya dalam pelajaran.

“Guru dan kakitangan sekolah ini juga menganjurkan infak barang makanan kepada 40 orang murid yang dikategorikan keluarga yang memerlukan pada minggu lepas sekurang-kurangnya mampu meringankan belanja persiapan berbuka puasa,” katanya.

Dalam pada itu, penerima bantuan, Nur Shafira Damia Noor Ariff Irman, 11, berkata, dia amat bersyukur kerana Aidilfitri tahun ini disambut lebih bermakna kerana berpeluang memperoleh pakaian baharu sumbangan guru dan dermawan sekolah itu.

“Pakaian baharu ini memberikan keceriaan kepada saya berhari raya dan peluang bertandang ke rumah rakan yang lebih dekat kerana tidak mampu bergerak jauh berikutan ancaman wabak Covid-19 masih menular dan perlu menjaga keselamatan diri,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya