PETALING jaya : Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng menerusi hantaran Facebook peribadinya semalam berkongsi kepada warga net mengenai sumbangannya kepada Balai Polis Butterworth.
Kata Ahli Parlimen Bagan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih itu, beliau menyerahkan sumbangan pelitup muka, pelindung muka, sarung tangan getah dan air mineral kepada Balai Polis Butterworth dalam kawasan Parlimen Bagan.
“Mereka telah banyak berkorban, malah terpaksa meninggalkan keluarga ketika orang lain berehat di rumah untuk berada di barisan hadapan dalam membantu negara memerangi isu Covid-19,” ujarnya.
Guan Eng yang memberitahu, semasa menjadi Menteri Kewangan beliau meluluskan peruntukan kira-kira RM3 juta kepada balai polis bertujuan untuk menaik taraf bangunan supaya petugas dapat menikmati kemudahan dan kelengkapan yang sempurna bagi menjalankan tugas dengan baik.
Beliau juga meluluskan peruntukan untuk pemasangan pendingin hawa berjumlah hampir RM20,000 untuk balai polis tersebut semasa menjadi Menteri Kewangan.
“Saya harap ini dapat membantu petugas-petugas dalam melaksanakan kerja mereka dengan lebih selesa,” ujarnya yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang
Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP dilantik Menteri Kewangan selepas Pakatan Harapan berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan pada 2018 hingga 2020. – UTUSAN ONLINE










