BAYAN LEPAS: Kegembiraan jelas terpancar pada wajah 21 kanak-kanak daripada Persatuan Anak Yatim Balik Pulau di sini yang diraikan dengan pembelian kelengkapan sempena Aidilfitri tidak lama lagi.
Kesemua mereka yang berusia antara lima hingga 12 tahun itu dibawa membeli pakaian hari raya oleh ahli-ahli Parti Gerakan negeri diketuai Pengerusinya, Oh Tong Keong di sebuah pasar raya di sini.
Menurut Tong Keong, ini merupakan kali pertama Gerakan negeri meraikan kanak-kanak dari rumah anak yatim dengan pembelian pakaian hari raya selepas sebelum ini hanya menyumbang bantuan sama ada dalam bentuk barangan keperluan, makanan atau wang tunai.
Jelas beliau, inisiatif itu juga sebagai salah satu usaha pihaknya untuk menghadirkan keceriaan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik tersebut untuk sama-sama meraikan kemeriahan Aidilfitri.
“Kita memperuntukkan sebanyak RM100 kepada setiap kanak-kanak ini untuk membeli pakaian baharu sempena Aidilfitri.
“Walaupun jumlahnya tidaklah begitu besar, namun sekurang-kurangnya kanak-kanak dapat menyambut hari raya dengan gembira sama seperti kanak-kanak lain yang lebih bernasib baik,” katanya ketika ditemui pada program tersebut di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Toh Keong yang juga Naib Presiden Gerakan Pusat berkata, sejak pandemik Covid-19 melanda negara, banyak rumah kebajikan seperti rumah anak yatim dan rumah orang tua terkesan dan menghadapi masalah kekurangan dana.
Sehubungan itu beliau berharap Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri mengambil berat terhadap masalah yang dihadapi rumah kebajikan tersebut dan menghulurkan bantuan.
Jelas beliau, keadaan lebih mendesak ketika ini berikutan dilaporkan terdapat kira-kira 400,000 anak-anak yatim di seluruh negara ketika ini yang memerlukan perhatian pihak berwajib.
“Bantuan itu termasuk dengan memberi pengurangan sewa premis sekiranya premis tersebut dimiliki kerajaan, pengurangan cukai pintu dan pengurangan tarif air dan bil elektrik serta bantuan lain yang dapat meringankan beban mereka,” katanya.










