Dugaan Ramadan, 40 rumah rosak akibat ribut - Utusan Malaysia

Dugaan Ramadan, 40 rumah rosak akibat ribut

ANTARA rumah yang terjejas akibat ribut di sekitar Sanglang, Simpang Empat dan Guar Sanji, Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Dianggarkan sebanyak 40 buah rumah terjejas berikutan angin kencang dan hujan lebat di beberapa kawasan sekitar negeri ini khususnya di kawasan Sanglang, Guar Sanji dan Simpang Empat di sini, semalam.

Kejadian sekitar pukul 7.30 sehingga 8 malam ketika umat Islam sedang berbuka puasa itu sekali gus meragut keceriaan penduduk yang terlibat khususnya ketika Aidilfitri bakal menjelang tiba minggu depan.

Kebanyakan rumah yang terjejas membabitkan kerosakan di bahagian dinding selain bumbung diterbangkan angin kencang.

Selain itu, banyak pokok dilaporkan tumbang di kawasan terbabit namun tidak melibatkan sebarang kemalangan nyawa.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd. Nazim Mohd. Noor memberitahu, sebanyak 25 peratus daripada kebanyakan rumah yang terjejas memerlukan pembaikan segera menjelang sambutan Aidilfitri minggu depan.

Dalam masa sama beliau memberitahu, pihaknya bersama kerajaan negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyampaikan bantuan awal sejurus selepas kejadian tersebut.

“Kita berharap penduduk yang terlibat bersabar dengan dugaan ini sebagai ujian di bulan Ramadan,” katanya.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd. Shukri Ramli berkata, pihaknya bersama MAIPs telah selesai menziarahi hampir 30 buah rumah yang rosak akibat ribut itu.

“Rumah yang terlibat akan diluluskan peruntukan untuk pembaikan dengan kadar segera mengikut jumlah kerosakan. Jutaan terima kasih kepada MAIPs dan amil-amil kawasan yang terlibat bagi melincinkan gerak kerja ini,” katanya.

Antara kampung yang terjejas akibat ribut itu ialah Kampung Bunga Emas; Kampung Serdang; Kampung Dato’ Ahmad Musa; Kampung Sungai Padang; Kampung Bongor Kudung; Kampung Tengah Tok Pulau; Jalan Sungai Baru; Kampung Padang Keria; Kampung Pauh Sanglang; Kampung Permatang Bongor dan Kampung Tok Pulau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya