Dua lori bawa buluh, hasil hutan tanpa kebenaran ditahan - Utusan Malaysia

Dua lori bawa buluh, hasil hutan tanpa kebenaran ditahan

BULUH yang dirampas Jabatan Perhutanan Perak setelah menahan sebuah lori di Kuala Bikam-Jalan Teluk Intan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jabatan Perhutanan Perak menahan dua lori membawa muatan 1,000 batang buluh dan hasil hutan tanpa kebenaran di Kuala Bikam-Jalan Teluk Intan dan sekatan jalan raya (SJR) Slim River semalam.

Pengarahnya, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, tangkapan pertama di Kuala Bikam-Jalan Teluk Intan dilakukan penguat kuasa Pejabat Hutan Daerah Perak Selatan susulan maklumat awam mengenai sebuah lori dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, semasa pemantauan dilakukan, didapati seorang pemandu lori berada di lokasi tersebut dan disyaki membawa muatan hasil hutan.

“Lori itu ditahan di simpang masuk Kuala Bikam-Jalan Teluk Intan di mana pemeriksaan mendapati, lori tersebut membawa hasil hutan iaitu 1,000 batang buluh.

“Pemandu lori yang gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran membawa hasil hutan enggan memberi kerjasama dan bertindak agresif dengan membuang hasil hutan yang dibawa ke tepi jalan sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, pemandu lori itu bagaimanapun menyerah diri selepas lapan jam lori dipandunya ditahan dan siasatan mendapati buluh tersebut digunakan sebagai pancang untuk tanaman sayur.

Katanya, pada hari sama, sebuah lori membawa muatan hasil hutan ditahan di SJR Tol Slim River di mana pemandu gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada Jabatan Perhutanan.

“Pemeriksaan mendapati, pemandu tersebut membawa lori dengan muatan 57 batang kayu jaras pelbagai spesies tanpa pas pemindah.

“Kedua-dua pemandu lori yang ditahan bagaimanapun dilepaskan dengan bon jaminan polis setelah keterangan diambil dan kedua-dua lori bersama muatan disita seterusnya dibawa ke Stor Rampasan Barang Jabatan Perhutanan Perak,” katanya.

Katanya, kedua-dua pemandu lori itu boleh didakwa di bawah Seksyen 68(1) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985 iaitu kesalahan membawa hasil hutan tanpa pas pemindah.

“Sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya denda dan penjara itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya