PUTRAJAYA: Kira-kira RM1.9 bilion (AS$452.363.867.40) telah didepositkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (Assets Recovery Trust Account) oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ).
Mengesahkan perkara itu, Kementerian Kewangan memaklumkan, wang tersebut adalah sebahagian daripada dana berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang telah disita.
Menurutnya, sehingga kini, Akaun Amanah berkenaan di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara telah menerima sebanyak RM16.05 bilion dana yang disita dan dipulangkan berkaitan 1MDB.
Jelasnya, jumlah di dalam Akaun Amanah tersebut akan digunakan untuk melunaskan baki hutang 1MDB dan SRC International Sdn Bhd (SRC) yang setakat ini, kerajaan telah melunaskan sebanyak RM12.4 bilion hutang 1MDB dan RM3.1 bilion hutang SRC.
“Baki hutang merangkumi prinsipal dan kupon/ keuntungan/ faedah bagi bon, Sukuk dan pinjaman berjangka, adalah sebanyak RM39.8 billion (1MDB) dan RM2.57 bilion (SRC),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, baki semasa Akaun Amanah hanya cukup untuk melunaskan prinsipal dan faedah hutang 1MDB untuk tahun 2021 dan 2022 sahaja.
Katanya, baki ini tidak termasuk jumlah penyelesaian sebanyak RM2.83 bilion yang akan diterima dari Kumpulan Ambank dan RM336 juta dari Deloitte PLT (jumlah penyelesaian oleh Deloitte merangkumi jumlah penyelesaian RM42 juta untuk SRC yang sebelum ini merupakan anak syarikat 1MDB).
Di samping itu, katanya, rundingan juga sedang dijalankan dengan KPMG. Setelah semua dana Akaun Amanah digunakan, kerajaan tetap perlu menanggung obligasi bayaran baki hutang 1MDB memandangkan hutang tersebut adalah disokong kerajaan melalui Jaminan Kerajaan (Government Guarantee) dan Surat Sokongan (Letter of Support) semasa hutang-hutang ini diterbitkan.
“Pemulihan dana berkaitan 1MDB ini tidak akan dapat dicapai tanpa bantuan dan kerjasama yang sangat baik di antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Amerika Syarikat, terutamanya dengan DOJ.
“Bagi pihak Kerajaan Malaysia, kami mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Amerika Syarikat dan mengharapkan kerjasama erat di antara kita ini dapat diteruskan,” katanya.
Beliau menjelaskan, usaha pemulihan aset 1MDB dan SRC oleh kerajaan pada masa ini memfokuskan kepada pihak-pihak yang telah menyebabkan kerugian kepada 1MDB dan SRC semasa menjalankan tanggungjawab mereka sama ada melalui penglibatan secara langsung atau tidak langsung dalam pelbagai operasi dan transaksi 1MDB dan SRC.
Katanya, semua yang terlibat akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas salah laku melalui penglibatan di dalam 1MDB dan/atau SRC. – UTUSAN ONLINE