Cake mahu harga ujian Covid-19 diselaraskan - Utusan Malaysia

Cake mahu harga ujian Covid-19 diselaraskan

MOHAMAD YUSRIZAL YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Persatuan Pengguna Kedah (Cake) meminta kerajaan melaksanakan segera kawalan harga terhadap kit ujian pengesanan Covid-19 di klinik-klinik dan pusat perubatan swasta.

Kit tersebut melibatkan ujian Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan Rapid Test Kit-Antigen (RTK-Ag).

Setiausahanya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, harga yang ditawarkan oleh klinik swasta ketika ini adalah terlalu mahal dan boleh membebankan golongan tidak berkemampuan terutama B40.

“Hasil pemantauan Cake mendapati harga kit ujian tersebut semakin meningkat selepas kerajaan mewajibkan ujian calitan berkenaan sebagai syarat wajib untuk rentas bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) seperti di Kota Setar dan Kubang Pasu.

“Paling rendah ditawarkan adalah RM120 dan ada juga sehingga RM150 bagi klinik swasta, jadi Cake syorkan sudah sampai masanya kerajaan memperkenalkan harga siling kerana dikhuatiri tiada kawalan seterusnya membuka peluang kepada pihak tertentu mengambil kesempatan,” katanya di sini.

Katanya, syarat prosedur operasi standard (SOP) yang mewajibkan orang ramai melakukan ujian berkenaan sebelum merentas daerah atau negeri membebankan mereka yang bergaji rendah.

“Tidak semua majikan akan menanggung kos ujian ini ke atas pekerja mereka dan ini membebankan mereka yang bergaji rendah.

“Kalau selaraskan harga tentu sedikit sebanyak akan membantu rakyat terutama dalam keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini akibat pandemik” katanya.

Menurutnya, orang ramai memilih untuk ke klinik swasta bagi mendapatkan ujian tersebut memandangkan keputusannya lebih cepat walaupun harga yang ditawarkan di klinik dan hospital kerajaan lebih murah.

“Orang ramai tidak mempunyai pilihan kerana mereka perlu segera mendapatkan ujian tersebut untuk bekerja ketika kerajaan tergesa-gesa memperkenalkan syarat itu.

“Apa pun kita berharap harga siling ini diperkenalkan segera supaya perkara ini tidak terus membebankan rakyat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN