Biar Agong lantik jawatan utama - Utusan Malaysia

Biar Agong lantik jawatan utama

WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pelantikan jawatan ter­tinggi seperti Peguam Negara, Ketua Polis Negara dan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia dicadangkan mengikut atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja tanpa tertakluk kepada nasihat Perdana Menteri.

Justeru, pindaan Perlembagaan Persekutuan perlu dilakukan terlebih dahulu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, nama-nama individu yang bakal dilantik itu bagaimanapun sewajarnya terlebih dahulu mendapat syor daripada suruhanjaya-suruhanjaya di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, pelantikan jawatan-jawatan tersebut tidak perlu melibatkan Parlimen yang fungsinya adalah menggubal undang-undang.

“Sebagai contoh, suruhanjaya polis mengesyorkan beberapa nama kepada Yang di-Pertuan Agong dan kemudian Seri Paduka berunding dengan Maj­lis Raja-Raja sebelum melantik mana-mana individu itu tanpa perlu lagi nasihat Perdana Menteri. Tatacara merundingi Majlis Raja-Raja walau bagaimanapun dikecualikan bagi bukan jawatan-jawatan utama.

“Apabila Yang di-Pertuan Agong­ melantik secara terus atas budi bicara tanpa nasihat Perdana Menteri secara tidak langsung dapat membebaskan isu campur tangan politik kepartian dalam sesuatu lantikan tersebut.

“Dengan itu, kita kekalkan fungsi badan eksekutif melaksanakan fungsinya, Parlimen pula mengekalkan fungsinya iaitu menggubal undang-undang. Begitu juga halnya pelantikan ahli suruhanjaya seeloknya me­lalui rundingan Yang di-Pertuan Agong dengan Majlis Raja-Raja atas syor Ketua Setiausaha Negara,” katanya.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, Parlimen perlu diberi kuasa melantik empat jawatan tertinggi seperti Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan bebas daripada campur tangan politik.

Pada masa ini pelantikan keempat-empat jawatan tertinggi dalam kerajaan itu ditentukan oleh badan eksekutif masing-masing yang sering dikaitkan dengan pengaruh dan campur tangan ahli politik atau ‘tangan ghaib’ yang didakwa memberi kepentingan untuk pihak ter­tentu.

Wan Ahmad Fauzi berkata, jika kaedah-kaedah di atas di­terima pakai, maka peruntukan pelantikan pengerusi suruhanjaya-suruhanjaya dalam kala­ngan menteri boleh dikekalkan kerana ahli-ahlinya sudah mempunyai kedudukan yang bebas kerana dilantik atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Sementara itu, peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, kuasa yang diberikan tidak bercanggah de­ngan Perlembagaan kerana Parlimen bertindak sebagai institusi bebas daripada pengaruh politik termasuklah kerajaan.

Pun begitu katanya, tidak semudah itu untuk meminda fasal Perlembagaan kerana memerlukan majoriti dua pertiga Dewan Rakyat yang memakan masa lama untuk diluluskan selain Proklamasi Darurat masih berjalan sehingga 1 Ogos ini.

Katanya, Perkara 40 Perlembagaan memperuntukkan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menimbangkan nasihat Perdana Menteri dan boleh merujukkan syor semula satu kali kepada suruhanjaya itu untuk ditimbangkan semula.

Perkara 145 Perlembagaan pula menyatakan Seri Paduka hendaklah atas nasihat Perdana Menteri melantik seorang yang layak menjadi hakim Mahkamah Persekutuan sebagai Peguam Negara bagi Persekutuan.

“Ini berbeza dengan pelantikan jawatan SPRM diperuntukkan di bawah Seksyen 5 (1) Akta SPRM 2009 yang menyatakan Yang di-Pertuan Agong hendaklah atas nasihat Perdana Menteri melantik Ketua Pesuruhjaya berkenaan,” menurutnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya