Bendera Perak separuh tiang: NGO buat laporan polis - Utusan Malaysia

Bendera Perak separuh tiang: NGO buat laporan polis

AL Yashir Yahaya (kanan) menunjukkan gambar bendera negeri Perak separuh tiang dan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Kampung Rapat, Ipoh. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kelab Kebajikan Masyarakat Ipoh Selatan menyelar tindakan biadab pihak yang menurunkan bendera negeri Perak separuh tiang dalam kejadian di Stadium Perak semalam.

Pengerusinya, Al Yashir Yahaya berkata, perbuatan kumpulan tidak dikenali itu amat mengecewakan kerana dilihat sebagai merendahkan darjat bendera negeri dan pemerintahnya.

Katanya, pengibaran bendera separuh tiang hanya untuk kes-kes tertentu seperti kematian pembesar negeri atau negara.

“Seperti mana kita tahu, bola sepak adalah sukan kegemaran ramai dan bagi kes ini mungkin ada penjelasan yang penggemar sukan ini perlu tahu.

“Apa pun tindakannya, janganlah sampai melibatkan bendera, jata mahupun lambang yang menunjukkan negeri ini tidak dihormati.

“Perbuatan menurunkan bendera separuh tiang ini seolah-olah semua pembesar dan pemerintah bersalah terhadap isu yang mungkin mereka sendiri tidak tahu,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Rapat di sini hari ini.

Menurutnya, semua pihak khususnya rakyat negeri ini diminta menghormati bendera dan jata negeri kerana ia adalah lambang kedaulatan, tidak kira apa juga kepercayaan dan bangsa.

“Laporan polis ini dibuat bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan di bawah Akta Hasutan kerana tindakan itu boleh mengganggu-gugat kestabilan negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi memberitahu, siasatan awal mendapati berlaku kesilapan teknikal mengenai kedudukan bendera Perak.

“Kita ada menasihatkan pihak terlibat untuk tidak tularkan isu ini sebaliknya menyalurkan aduan kepada pihak pengurusan tertinggi di stadium itu dahulu,” katanya.

Terdahulu tular dalam media sosial, dua bendera negeri Perak yang dikibarkan di pekarangan Stadium Perak diturunkan separuh tiang hingga menimbulkan kecaman warga maya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN