Beli-belah cuma dua jam sahaja - Utusan Malaysia

Beli-belah cuma dua jam sahaja

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan menetapkan tempoh masa pelanggan di dalam semua premis peruncitan termasuk pusat beli-belah dihadkan kepada maksimum dua jam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah itu diambil selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan sekatan lebih ketat bermula Selasa ini.

Menurutnya, had jumlah pelanggan di dalam semua premis peruncitan termasuk kompleks beli-belah dalam satu-satu masa diwajibkan mengikut keluasan premis perniagaan dengan penetapan satu orang bagi setiap empat meter persegi.

“Waktu operasi sektor perdagangan pengedaran termasuk semua premis peruncitan, pemborong, pengedaran dan restoran dihadkan antara pukul 8 pagi hingga 8 malam.

“Namun bagi kedai farmasi dan penjagaan diri kecuali yang tersenarai di bawah aktiviti tidak dibenarkan seperti spa dan perkhidmatan penjagaan kuku dikekalkan di antara pukul 8 pagi hingga 10 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, had kapasiti pekerja bagi semua premis peruncitan, pemborong, pengedaran dan kompleks beli-belah termasuk pengurusan, operasi dan sokongan ditetapkan sebanyak 60 peratus.

“Bagi premis peruncitan termasuk pusat beli-belah yang tersenarai di bawah Sistem Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE) yang masih berisiko tinggi selepas penilaian dibuat oleh Kementerian Kesihatan akan ditutup serta-merta selama tiga hari bagi tujuan sanitasi,” katanya.

Alexander berkata, kementerian akan menggerakkan seramai 2,262 pegawai penguat kuasa di seluruh negara untuk memastikan pematuhan sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang diperketatkan itu.

Katanya, penguat kuasa akan diperhebatkan di premis-premis perniagaan termasuk pada hujung minggu dan hari cuti.

“Sebagai salah satu agensi yang diperturunkan kuasa untuk menguatkuasakan PKP di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), kementerian tidak akan berkompromi dalam mengambil tindakan tegas termasuk mengenakan kompaun.

“Kementerian juga tidak teragak-agak mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menutup serta-merta premis yang didapati tidak mematuhi SOP PKP yang diperketatkan ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN