Bazar Ramadan enam daerah PKP Selangor ditutup Sabtu - Utusan Malaysia

Bazar Ramadan enam daerah PKP Selangor ditutup Sabtu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM : Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor bermula esok, semua bazar Ramadan enam buah daerah terbabit tidak dibenarkan beroperasi bermula Sabtu ini. 

Bagaimanapun, bazar Aidilfitri dan pasar malam dibenarkan operasi sepanjang tempoh PKP sehingga pukul 10 malam dengan syarat-syarat ketat. 

Selain itu, aktiviti makan di dalam premis di kawasan PKP juga tidak dibenarkan serta kedai runcit, stesen minyak dan restoran boleh beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 12 malam.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kebenaran bazar sehingga Jumaat ini dianggap sesuai dalam memberikan peluang kepada pengurus bazar dan pemilik gerai menyelesaikan tugasan mereka terutama penyelenggaran stok-stok. 

Menurutnya, kerajaan negeri tidak terlalu kejam untuk menutup operasi bazar memandangkan mereka telah beroperasi selama 25 hari sehingga Jumaat ini. 

“Penutupan ini akan memberikan kesan kepada 11,000 peniaga dan penjaja yang akan dibantu menerusi pemberian RM500 selepas Aidilfitri melibatkan peruntukkan RM 5juta.

“Bagi aktiviti makan dalam restoran pula, bufet Ramadan di semua restoran dan hotel juga tidak dibenarkan kerana didapati punca perkumpulan jangkitan Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar khas pelaksanaan PKP di Selangor di sini hari ini. 

Tambah Amirudin, bagi bazar Aidilfitri dan pasar malam, sekiranya terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), operasi bazar atau pasar malam itu akan ditutup serta-merta.

“Kebenaran pengunjung memasuki premis satu-satu masa mengikut saiz bangunan dan premis bagi mengawal selia hal ini. 

“Kita juga mewajibkan nombor giliran bagi mengetahui jumlah sebenar memasuki sebuah premis dengan larangan kepada kanak-kanak bawah 12 tahun. Selain itu, operator atau pengurus bazar wajib melantik pegawai pemantau yang akan dimaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memastikan SOP dipatuhi dan dituruti,” ujarnya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, semua institusi pendidikan di Selangor akan ditutup sepanjang pelaksanaan PKP.

Tambahnya, penutupan itu termasuk semua sekolah kebangsaan, sekolah harian dan sekolah dibawah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selain berharap sekolah swasta turut mengikuti arahan itu.

“Penutupan ini hasil persetujuan Jabatan Kesihatan Negeri dan Kementerian Pendidikan yang dimaklumkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin yang dihubungi selama dua hari.

“Malah, penutupan ini sehingga Hari Raya Aidilfitri dan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan. 

“Keputusan penutupan dua hari awal sebelum cuti sekolah diambil setelah mendapati masih berlaku risiko-risiko jangkitan di sekolah walaupun SOP dilaksanakan,” katanya.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN