PETALING JAYA: Beberapa laman sosial yang memaparkan solidariti Israel susulan serangan balas pejuang Palestin ke Tel Aviv turut mendapat ‘serangan’ hebat daripada rakyat Malaysia yang digelar Tentera Bawang (Bawang Rangers).
Laman Israel Defence Forces di Twitter dan Facebook menjadi sasaran Tentera Bawang yang berang dengan kenyataan laman tersebut kononnya penduduk Israel kini hidup dalam ketakutan dan terancam selepas pejuang Palestin melancarkan serangan roket.
Rata-rata rakyat Malaysia yang melancarkan serangan di laman sosial berkenaan memulangkan persoalan sama kepada rejim Zionis yang sebelum ini bertindak zalim terhadap penduduk Palestin khususnya dalam serangan di Masjid Al-Aqsa.
Tentera Hamas melancarkan sejumlah roket terhadap hub ekonomi di Tel Aviv sebagai serangan balas selepas tentera Israel memusnahkan blok menara setinggi 12 tingkat di Gaza, ketika pertempuran antara kedua-dua pihak terus memuncak.
Ketegangan yang berlaku menyaksikan sekurang-kurangnya 30 penduduk Palestin terkorban di Semenanjung Gaza dan lebih 200 cedera.
Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh memberi amaran bahawa ‘jika Zionis terus mahu burukkan keadaan, kami sudah bersedia’.