SHAH ALAM-Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah melancarkan laluan baharu tambahan SA09 di Jalan Kebun, Seksyen 32 bermula semalam.
Menurut Pemangku Datuk Bandar, Mohd.Rashidi Ruslan, laluan tersebut akan diintegrasikan dengan laluanSA06 dan SA08 sedia ada.
“Laluan SA09 ini bermula di AEON Big, Bukit Rimau Seksyen 32 Shah Alam sehingga Kampung Jalan Kebun Seksyen 32 Shah Alam.
“Sebanyak empat unit bas akan disediakan di laluan SA09 ini merangkumi jarak perjalanan sejauh 21km pergi dan balik,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran SA09 di Padang Rakyat Seksyen 32.
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Negeri Selangor, Ng Sze Han.
Mohd.Rashidi berkata, kekerapan bas di laluan tersebut adalah dijangka pada setiap 15 minit bagi waktu puncak dan 25 minit pada luar waktu puncak.
Katanya lagi, pengoperasian bas tersebut adalah setiap hari bermula dari jam 6.00 pagi sehingga jam 10.00 malam.
“MBSA telah menyediakan peruntukan sebanyak RM1.1 juta setahun untuk laluan SA09 ini.
“Tambahan laluan ini merupakan inisiatif MBSA untuk memberikan kemudahan pengangkutan awam secara percuma kepada orang ramai khususnya warga Shah Alam yang tinggal di kawasan luar bandar dan dapat menyumbang kepada perkembangan sosio ekonomi masyarakat setempat,” katanya.
Beliau menambah, pada masa kini, MBSA telah menyediakan lapan laluan bas percuma, Bas Smart Selangor dengan 35 unit bas di dalam kawasan pentadbiran Shah Alam semenjak mula beroperasi pada 1 Julai 2015.- UTUSAN ONLINE