MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan barang kawalan dan keperluan asas di negeri ini adalah stabil.
Justeru, Pengarah KPDNHEP negeri, Norena Jaafar meminta masyarakat supaya bertenang dan jangan membuat sebarang spekulasi yang boleh mencetuskan panik.
Beliau berkata, pihaknya komited dalam memastikan bekalan barangan kawalan, keperluan serta makanan sentiasa mencukupi.
“KPDNHEP negeri telah melantik 58 Pemborong Daerah Terpilih (DDW), 140 Peruncit Daerah Terpilih (DDR) dan sejumlah stok mini dari DDW.
“Para peniaga ini perlu memberikan laporan status kedudukan barangan keperluan kepada kami secara harian bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi untuk pengguna,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Norena, masyarakat perlu lebih berhemah dalam menjadi pengguna bijak.
“Beli yang perlu sahaja dengan kuantiti yang tepat supaya tidak membazir selain memberi ruang kepada orang lain untuk mendapatkan barang keperluan,” jelasnya.
Sementara itu, mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terbaharu, Norena memberi amaran kepada para peniaga supaya patuh atau berdepan tindakan tegas sekiranya gagal.
Kerajaan akan mengetatkan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan mengehadkan masa perniagaan bermula 25 Mei.
Kedai hanya dibuka dari pukul 8 pagi hingga 8 malam berbanding sebelumnya dari 6 pagi hingga 12 tengah malam.










