'Ayah sakit, tahun ini memang tiada baju raya' - Utusan Malaysia

‘Ayah sakit, tahun ini memang tiada baju raya’

BEBERAPA orang anak Khalis mencuba baju raya yang ditaja oleh Iman Boutique di Dataran Senawang, Seremban. - UTUSAN/AFIFI HAFIZ MOHD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Simpati dengan nasib yang dialami penyanyi, Khalis atau nama sebenarnya Muhammad Khalis Md. Shari, 33, yang kini terlantar, sebuah butik pakaian di sini menaja pakaian hari raya untuk keluarga penyanyi tersebut.

Anak kedua Khalis, Siti Rusnaida Umierah, 17, berkata, dia dan adik-beradiknya yang lain pada awalnya memang tidak mengharapkan mendapat pakaian baharu sempena Aidilfitri tahun ini setelah melihat keadaan kesihatan bapanya.

Namun jelasnya, apabila dimaklumkan terdapat pihak yang mahu menaja pakaian, mereka sekeluarga sangat teruja tidak terkecuali bapanya itu.

“Jika diikutkan pada tahun ini memang tiada baju raya sebab ayah sakit, bagaimanapun kami terutamanya adik-adik sangat teruja bila tahu ada pihak menawarkan untuk memberikan kami baju baharu.

“Sebelum ini kami adik-beradik sudah faham raya tahun ini kami akan pakai baju lama sebab ‘mama’ ada cakap kami tidak beraya,” katanya ketika ditemui pemberita di Iman Boutique, Dataran Senawang dekat sini.

Butik tersebut menaja dua pasang baju raya kepada keluarga Khalis yang seramai sembilan orang.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan keadaan adik kepada penyanyi Allahyarham Achik Spin itu yang kini terlantar ekoran penyakit kencing manis dan kandungan garam dalam badan yang mendadak turun dan telah dialami sejak sebulan lalu.

Isterinya, Zalina Azman berkata, tahap kesihatan Khalis semakin merosot sejak sebulan lalu selepas dimasukkan ke hospital buat kali kedua.

Khalis memikul tanggungjawab membesarkan dua orang anak kandung, tiga orang anak tiri dan dua orang anak saudara yang dijaga sejak kecil dengan kesemua mereka berusia di antara sembilan hingga 20 tahun.

Siti Rusnaida Umierah sementara itu berkata, bapanya mahu sekeluarga mengenakan pakaian berwarna tema ‘maroon’ pada hari raya kali ini.

“Ayah kata dia minta maaf kalau dia ada susahkan anak-anak dengan keadaan kesihatannya. Apapun saya harap sangat ayah dapat sihat semula seperti dulu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN