PAPAR: “Esok pagi, saya akan memakai baju raya warna coklat yang mungkin sama dengan tema baju raya umi dan abah di kampung.”
Begitulah luahan Muhammad Zahkree Aziq Mohd. Zakaria, pelajar Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Pantai Manis yang terpaksa meraikan 1 Syawal dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Zahkree 14, berkata, siapa yang tidak sedih apabila terpaksa berjauhan dengan keluarga semasa musim perayaan Aidilfitri.
“Saya tidak pernah beraya tanpa umi dan abah. Ini kali pertama saya berada jauh dari mereka semasa Aidilfitri.
“Sedihlah sebab tidak dapat pulang beraya di kampung tapi disebabkan kes Covid-19, saya terpaksa akur dengan keadaan. Umi dan abah juga turut bersedih dan risau dengan keadaan saya di asrama.
“Kelmarin saya ada berbual dengan umi di telefon, dia pesan supaya jaga diri, sentiasa patuh prosedur operasi standard (SOP) dan jangan lupa makan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Anak bongsu dari tiga beradik ini berkata, dia pasti akan merindui masakan ayam rendang dan buras uminya. Malah, dia juga rindu untuk berkumpul beramai-ramai bersama saudara-mara lain pada pagi Aidilfitri.
Sementara itu, Mohd. Rizqe Rainih, 13, yang berasal dari Sandakan berkata, dia merasa sangat sedih kerana ini adalah kali pertama dia beraya jauh daripada keluarga.

“Ibu bapa memang risau dengan keadaan saya di sini dan mereka sering berpesan supaya saya menjaga kesihatan dan mematuhi SOP bagi mengelak jangkitan
“Sebaik sahaja PKPD ini tamat pada 20 Mei seperti dijadualkan, saya akan terus pulang ke Sandakan bagi meraikan Aidilfitri yang masih berbaki,” katanya.
Ketua Warden SMAN Pantai Manis, Abd. Rahman Abd. Karim berkata, dua pelajar itu antara 285 pelajar yang ditempatkan di sekolah yang berada di bawah PKPD sejak 7 Mei lalu.
Walaupun sambutan Aidilfitri di lokaliti PKPD tidak dibenarkan namun agihan biskut dan duit raya tetap diberikan hasil sumbangan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains), Persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) dan individu perseorangan.
“PIBG juga ada membuat tempahan makanan istimewa untuk hari raya pertama. Sumbangan biskut raya akan diedarkan mengikut SOP kepada setiap pelajar esok.
“Esok saya akan mengambil gambar pelajar yang lengkap berbaju raya untuk dihantar ke dalam kumpulan WhatsApp PIBG sekolah.
“Untuk menghidupkan suasana Aidilfitri, kami mengambil inisiatif membenarkan pelajar melakukan takbir raya di bilik masing-masing. Rakaman video ucapan raya juga akan diambil untuk memberi keyakinan kepada ibu bapa bahawa kebajikan dan kesihatan anak-anak mereka sentiasa terjamin,” katanya.
Sekiranya PKPD ini tamat mengikut jadual diharap pelajar-pelajar di sekolah itu dibenarkan balik ke pangkuan keluarga masing-masing. Namun penamatan itu bergantung kepada penilaian risiko jangkitan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.