PETALING JAYA: Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM yang digunakan untuk menilai pelajar ke institusi pengajian tinggi (IPT) perlu ditambah baik dengan memasukkan elemen lain termasuk aspek kokurikulum, nilai dan kecenderungan minat kerjaya mereka.
Justeru kaedah tersebut membolehkan penilaian dibuat berdasarkan kebolehan pelajar bukan sahaja dalam bidang akademik malah elemen tersebut yang membolehkan mereka dilihat secara holistik.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Jasni Md. Kechik berkata, kebolehan dan penglibatan pelajar dalam bidang kokurikulum perlu diambil kira kerana aspek ini juga merupakan sebahagian daripada kurikulum yang dipelajari di sekolah.

“Pelajar juga perlu dinilai minat serta kecenderungan kerjaya mereka supaya memudahkan mereka memilih mata pelajaran peringkat SPM untuk belajar sesuai dengan minat mereka,” katanya baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Jasni berkata, pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani).
“Ia seperti Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi) yang mana selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan,” katanya.
Untuk rekod Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diperkenalkan pada 1980 bagi menggantikan Malaysian Certificate of Education (MCE).
Sementara itu menurut Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Pendidikan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad, oleh kerana SPM adalah pensijilan, ia merupakan penilaian yang sudah mantap, malah diiktiraf di negara-negara luar jika pelajar ingin menyambung pelajaran ke luar negara.
Penambahbaikan sistem Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) adalah perlu katanya, selaras dengan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
“Beberapa penambahbaikan perlu dibuat, contohnya pelbagaikan subjek yang tidak ada dalam SPM sebelum ini, supaya ia lebih kepada minat pelajar untuk cenderung ke arah mana,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Kementerian Pendidikan sebelum ini memuktamadkan pemansuhan UPSR mulai 2021.
Mengulas lanjut, Anuar turut berkata, penambahbaikan SPM perlu diambil kira daripada Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) supaya pelajar yang memasuki ke peringkat menengah, mereka akan lebih bersedia untuk menghadapi lima tahun akan datang untuk menghadapi SPM.
“Kita harap amalan PBD dapat disepadukan oleh guru supaya pelajar yang akan beralih ke sekolah menengah, mereka tidak terkejut dengan peperiksaan,” ujarnya lagi.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang turut menyokong penambahbaikan tersebut dengan menjelaskan, meskipun ia mengambil masa yang lama untuk membuat kajian,penambahbaikan itu adalah perlu
“Untuk mengubah serta merta itu sukar, tetapi macam UPSR, kajian sudah buat lama walaupun baru diumumkan, dah lama NUTP minta UPSR dimansuhkan. Jadi dari segi SPM ini, ia perlukan kajian secara mendalam,” ujarnya lagi.
Pakar Psikologi Universiti SEGI, Prof Datin Dr. Mariani Md Nor turut berkata, penambahbaikan SPM juga harus mengambil kira minat dan kecenderungan pelajar supaya perubahan itu mampu meningkatkan kualiti pendidikan mereka.
“Sebagai contoh kecerdasan, kecenderungan mereka perlu dinilai sejak dari awal dan perlu ada mekanisme untuk melakukannya. Kaedah belajarnya juga perlu dilihat dari pelbagai sudut terutama minat mereka kerana ada pelajar adalah dari jenis audio learner, ada yang daripada jenis visual learner dan tidak ketinggalan ada yang daripada jenis kinesthetic learner. – UTUSAN ONLINE
“Kaedah penilaian bagaimana pelajar dinilai juga perlu dikaji. Jadi keadaan sekarang ini guru dan ibu bapa harus bersama dalam memastikan anak dapat belajar dan menduduki peperiksaan tanpa ada perasaan cemas bimbang dan takut,” ujarnya lagi.- UTUSAN ONLINE











