KOTA BHARU: Seorang pesakit dikesan cuba ‘curi-curi’ keluar dari sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di sini pada waktu malam dengan alasan mahu membeli rokok, beberapa hari sebelum Aidilfitri.
Tindak-tanduk pesakit lelaki berusia 30-an itu yang menggunakan laluan kakitangan bagaimanapun disedari petugas PKRC terbabit lalu memintanya supaya kembali ke katilnya.
Pengarah PKRC Kelantan, Dr. Mohd. Azman Yacob berkata, kes tersebut pertama kali dikesan berlaku di negeri ini dan percubaan lelaki terbabit gagal kerana seluruh PKRC dikawal ketat setiap masa.
Tambah beliau, kesemua 10 PKRC di negeri ini juga dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) bagi memudahkan petugas memantau pergerakan pesakit.
“Kita menyedari dia cuba bolos keluar pada satu malam menggunakan laluan keluar masuk petugas kesihatan. Apabila disoal siasat, lelaki itu membuat alasan dia hendak keluar membeli rokok.
“Perbuatan itu boleh diambil tindakan undang-undang kerana pesakit melanggar peraturan yang dikuatkuasakan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau PKRC Gelanggang Seni di sini yang dibuka mulai hari ini.
Dr. Mohd. Azman berkata, mana-mana pesakit yang melanggar peraturan atau cuba lari dari PKRC akan diambil tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Jika sabit kesalahan katanya, individu tersebut boleh didenda RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.
“Sebab itu setiap kali pesakit dimasukkan ke PKRC, mereka dibacakan akta tersebut sebagai peringatan supaya tidak melakukan kesalahan yang dinyatakan.
“Pesakit yang dikuarantin tidak dibenarkan keluar sama sekali dari PKRC bagi mengelak jangkitan kepada orang lain,” katanya.