PUTRAJAYA: Sejumlah 8,302 petugas kesihatan kontrak diluluskan pengambilannya bagi mengoptimumkan penggunaan sumber manusia dalam menangani pandemik Covid-19 ketika ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, daripada jumlah itu, ia meliputi 82 pegawai sains, 4,472 jururawat, 2,249 penolong pegawai perubatan, 666 juruteknologi makmal perubatan, 340 penolong pegawai persekitaran dan 293 juru x-ray diagnostik.
Menurut beliau, jumlah tersebut termasuk kelulusan Kementerian Kewangan bagi menyambung perkhidmatan sejumlah 200 orang kaunselor yang kini menyediakan khidmat kaunseling dan sokongan kesihatan mental kepada pelanggan di klinik kesihatan seluruh negara.
“Selain itu, kerajaan bersetuju meluluskan pelantikan semula sejumlah 3,622 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi untuk tempoh satu tahun lagi dengan kos emolumen sebanyak RM289.69 juta.
“Pembaharuan kontrak akan dimaklumkan kepada pegawai sebelum kontrak sedia ada berakhir. Kementerian Kesihatan juga melantik 3,042 orang Personel MySTEP bagi membantu tugas-tugas bukan klinikal di seluruh fasiliti kesihatan dan institusi di bawah kementerian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Adham berkata, berdasarkan situasi semasa jangkitan Covid-19 di beberapa negeri, pihaknya melaksanakan mobilisasi dalaman petugas kesihatan melibatkan pelbagai skim perkhidmatan.
Katanya, ini seperti pakar perubatan klinikal, pakar perubatan kesihatan awam, pegawai perubatan, pegawai sains, penolong pegawai perubatan, jururawat, juru x-ray diagnostik, penolong pegawai kesihatan persekitaran, juruteknologi makmal perubatan, pembantu tadbir (kewangan) dan pembantu tadbir (perkeranian/operasi).
Beliau memberitahu, sejumlah 648 petugas kesihatan telah dimobilisasi ke Sarawak manakala sejumlah 366 lagi dihantar ke Kelantan pada 26 April lalu.
“Inisiatif seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan kritikal di negeri-negeri tertentu di samping memastikan keperluan sedia ada di negeri lain tidak terjejas.
“Kementerian Kesihatan merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), kementerian dan agensi awam serta pentadbiran kerajaan negeri yang telah memobilisasikan anggota masing-masing untuk membantu di penempatan seperti Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC), Covid-19 Assessment Centre dan Pusat Pemberian Vaksin di seluruh negara.
“Seramai 306 anggota kumpulan pelaksana seperti penolong pegawai tadbir, pembantu tadbir (perkeranian/operasi), pembantu tadbir (kewangan), pegawai khidmat pelanggan dan pemandu telah dimobilisasi bagi membantu Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah,” katanya.