BALING: Seramai 6,000 penduduk miskin di daerah ini menerima sumbangan barangan makanan sempena sambutan Ramadan pada tahun ini.
Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, penduduk terpilih itu menerima sumbangan tersebut secara berperingkat sejak awal Ramadan bagi meringankan beban golongan tersebut.
“Kita memahami masalah yang dialami oleh rakyat dan kita cuba membantu sedaya upaya untuk meringankan bebanan mereka.
“Bermula awal Ramadan lagi, kita telah mengagihkan barangan keperluan harian tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Ziarah Kasih Ihya’ Ramadan di Kampung Bakai di sini, hari ini.
Antara jenis barangan keperluan harian itu ialah beras, gula, tepung, minyak dan sebagainya.
Selain barangan makanan, Abdul Azeez memberitahu, pihaknya turut menyediakan peruntukan sebanyak RM600,000 untuk disumbangkan kepada golongan miskin bagi persiapan menyambut Aidilfitri.
“Saya harap sumbangan ini dapat mengembirakan keluarga tersebut menyambut hari lebaran,” tambahnya.
Sementara itu, seorang penerima sumbangan, NorHisham Ishak, 46, berkata, sumbangan yang diterima ini dapat mengurangkan sedikit beban keluarganya pada Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
“Duit sumbangan yang diterima ini pula boleh dibelanjakan untuk membeli daging, lemang dan ketupat untuk dimasak pada pagi hari raya untuk dimakan kami sekeluarga,” katanya. – UTUSAN ONLINE










