GUA MUSANG: Ribuan pengguna Jalan Gua Musang – Kuala Krai di Kilometer 3, dekat Bandar Utama, di sini terpaksa berpatah balik dan menggunakan laluan alternatif selepas sebuah lori kontena terbalik melintangi jalan pagi tadi.
Kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi menyebabkan jalan perhubungan utama tersebut ‘tertutup’ kira-kira lima jam sebelum dibuka semula petang ini sebaik sahaja lori terbabit berjaya dialih menggunakan sebuah kren.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Sik Choon Foo berkata, ketika kejadian, lori kontena membawa muatan sarung tangan getah itu dalam perjalanan dari Kuala Krai ke Gua Musang.
Katanya, apabila tiba di lokasi, kenderaan tersebut secara tiba-tiba terbabas ke sebelah kiri jalan sebelum hilang kawalan lalu terbalik.
“Keadaan itu menyebabkan semua kenderaan dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai terkandas di lokasi.
“Pemandu lori kontena berusia 32 tahun berasal dari Segamat, Johor tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati pemandu lori kontena itu mengantuk dan terlelap sewaktu melalui jalan berselekoh dan garisan berkembar.
Katanya, sementara menunggu lori kontena dialih, pengguna jalan terpaksa menggunakan jalan alternatif dalam sebuah ladang kelapa sawit tidak berturap sejauh dua kilometer yang sempit dan berlubang.
“Kita telah menempatkan anggota berkawal di lokasi kejadian bagi memantau keadaan trafik,” katanya.
Kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan. – UTUSAN ONLINE