PUTRAJAYA: Jumlah pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara semalam merekodkan 411 individu ditahan berbanding 370 individu dicekup kelmarin.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 408 dikompaun manakala tiga lagi direman dengan kes tertinggi masih lagi gagal merekod butiran atau daftar masuk premis.
Kesalahan tersebut ujar beliau, mencatatkan sebanyak 168 kes, diikuti mereka yang tidak memakai pelitup muka (94), tiada jarak fizikal (61), aktiviti pusat hiburan (56) dan lain-lain (32).
“Seramai 14 pendatang asing tanpa izin turut ditahan dan 11 kenderaan darat disita semalam melalui Operasi Benteng selain sebanyak 144 bot atau kapal yang dicurigai dikesan berdekatan dengan perairan negara kita melalui lapan aktiviti penglihatan oleh pasukan keselamatan,” kata Ismail Sabri dalam kenyataan hari ini.
Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 758 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya telah pun diarahkan kuarantin selain 8,416 individu masih lagi menjalani proses itu.
Seramai 1,828 individu terlibat dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, manakala 186,455 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas dikuarantin.
Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam melakukan sejumlah 1,649 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan kesemua premis terlibat didapati mematuhi peraturan.- UTUSAN ONLINE











