KUBANG PASU: Seramai 1,399 pelajar di Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok dekat ini memilih tidak pulang ke kampung sebaliknya ingin menyambut Aidilfitri bersama rakan-rakan di kampus itu pada tahun ini.
Walaupun pelajar terlibat mengakui agak sedih kerana tidak dapat bersama keluarga di pagi raya, namun mereka menganggap perkara tersebut sebagai pengalaman baharu dalam hidup masing-masing.
Seorang pelajar, Zulfaqar Hizami Yazid, 22, berkata, dia mengambil keputusan untuk tidak pulang ke kampung di Butterworth, Pulau Pinang bagi memastikan kesihatan ahli keluarga terutamanya salah seorang adiknya yang mempunyai penyakit asma tidak terganggu.
“Sejujurnya saya rasa risau hendak merentas negeri kerana salah seorang adik saya mempunyai masalah kesihatan. Risau juga sekiranya kepulangan saya nanti menjejaskan kesihatan adik saya itu.
“Lagi pun cuti sempena Aidilfitri tidak lama dan kami akan meneruskan pengajian secara dalam talian selepas ini. Dalam keadaan talian internet di kampung saya tidak terlalu baik, eloklah saya terus kekal di kampus saja,” katanya.
Sementara itu rakannya, Muhammad Bazli Bahruddin, 26, berkata, dia kali kedua pada tahun ini tidak beraya bersama keluarga di kampungnya di Bangi, Selangor bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai timbalan presiden di kolej kediamannya.
“Keputusan itu diambil memandangkan saya mempunyai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan antaranya menjaga kebajikan pelajar yang tidak pulang ke kampung.
“Bagi mengubati kerinduan, keluarga saya hantarkan kuih raya kira-kira enam balang. Sekurang-kurangnya, dapatlah juga saya kongsikan bersama rakan-rakan di sini,” katanya.
Sementara itu, Pengetua Inapan Siswa (Inasis) Proton dan Tradewinds UUM, Dr. Rohafiz Sabar berkata, kira-kira 320 pelajar di Inasis ini tidak pulang ke kampung termasuk pelajar asing.
“Di pagi raya kami akan edarkan makanan kepada pelajar-pelajar antaranya nasi beriani, ketupat dan lemang yang disediakan katerer.
“Sekurang-kurangnya dapat menghidupkan suasana perayaan di dalam kampus walaupun mereka berjauhan daripada keluarga,” katanya. – UTUSAN ONLINE










