PUTRAJAYA: Kejayaan Palestin memaksa rejim Israel mengisytiharkan gencatan senjata semalam bukan sahaja disambut meriah warga Palestin, malahan ceria dirayakan di seluruh dunia.
Tidak ketinggalan ialah Perbadanan Putrajaya (PPj) apabila ada cara unik tersendiri meraikan kemenangan bersejarah itu dengan limpahan cahaya lampu yang berwarna bendera Palestin.
Antaranya dapat disaksikan warga Putrajaya di Jambatan Seri Saujana yang menghubungkan laluan bahagian pulau di Presint 4 dengan jirannya, Presint 7 menerusi jalan Lebuh Sentosa.
Keindahan panorama empat cahaya berasaskan warna bendera Palestin yang sudah digunakan sejak 1964 itu turut dijadikan foto utama muka depan laman sosial rasmi Facebook PPj.
Tidak ketinggalan ialah persembahan Air Pancut Putrajaya berdekatan Jambatan Putra dan Dataran Putra yang turut diserikan dengan pertunjukan cahaya yang berwarna bendera Palestin.
Inisiatif PPj ini menerima reaksi positif penduduk Wilayah Persekutuan yang ketiga tersebut apabila memberi pujian menerusi ruangan komen akaun sosial pihak berkuasa tempatan itu.
Terdahulu beberapa mercu tanda utama turut bercahaya dengan warna bendera Palestin sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan rakyat negara itu menentang kezaliman rejim Zionis.
Ini termasuk Menara Kuala Lumpur dan Menara Berkembar Petronas di ibu negara selain Menara Komtar di Pulau Pinang, Menara Alor Setar di Kedah dan Menara Kuantan di Pahang.- UTUSAN ONLINE