Zon merah, kluster tempat kerja antara keutamaan pemberian vaksin - Utusan Malaysia

Zon merah, kluster tempat kerja antara keutamaan pemberian vaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan akan menjalankan penilaian risiko bersama pihak negeri untuk mengenal pasti lokaliti merah seperti kluster berpanjangan atau tidak terkawal untuk dipertimbangkan keutamaan pemberian vaksinasi Covid-19.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, ini termasuk kluster melibatkan tempat kerja selain mengambil kira keberadaan vaksin untuk diberikan kepada kumpulan itu dalam fasa 2 dan 3 bermula esok.

Walau bagaimanapun katanya, pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) fasa kedua mengutamakan kumpulan berisiko tinggi mendapat jangkitan iaitu warga emas berusia 60 tahun dan ke atas, individu dengan komorbiditi termasuk orang kurang upaya.

Kata beliau, mereka yang berumur 18 tahun ke atas dengan faktor komorbiditi seperti darah tinggi, kencing manis, penyakit saluran pernafasan kronik dan lain-lain merupakan golongan berisiko tinggi mendapat jangkitan wabak itu.

“Kebanyakan warga emas ini juga mempunyai penyakit kronik sekali gus menyebabkan golongan ini mudah dijangkiti Covid-19 serta berisiko mendapat komplikasi lebih teruk hingga menyebabkan kematian.

“Direkodkan sebanyak 69 peratus kematian di negara ini berkaitan jangkitan Covid-19 adalah dalam kalangan berumur 60 tahun dan ke atas manakala 86.9 peratus dari jumlah kematian pula mempunyai faktor komorbiditi.

“Oleh itu, dengan pemberian vaksin kepada warga emas serta mereka yang mempunyai komorbiditi diharapkan dapat mengurangkan tahap jangkitan dan kematian akibat Covid-19,” katanya di sini semalam.

Mengulas lanjut, Adham berkata, keutamaan pemberian vaksin kepada warga emas juga diamalkan di negara-negara lain kerana mereka mempunyai risiko tinggi mendapat jangkitan Covid-19 dan mengalami komplikasi jangkitan dan mengesyorkan supaya warga emas diberi keutamaan sebagai kumpulan pertama diberi vaksin.

Sebagai contoh, katanya, di Amerika Syarikat, Singapura dan lain-lain, warga emas disenaraikan sebagai kumpulan berisiko dan diberikan keutamaan vaksin selepas anggota barisan hadapan.

Dalam pada itu, Adham berkata, kerajaan membuat persediaan lebih awal pada bulan depan untuk pemberian vaksin besar-besaran kepada individu biasa yang ditetapkan dalam fasa ketiga. – UTUSAN ONLLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN