PETALING JAYA : Pelaku dan dalang di sebalik penerbitan video mempromosi kegiatan judi dalam talian perlu dikenakan hukuman maksimum mengikut peruntukan perundangan sedia ada.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Suhaili Abdul Rahman berkata, tindakan tersebut perlu dibuat bagi memberi pengajaran kepada mana-mana pihak yang cuba melanggar undang-undang negara.
Katanya, tindakan tegas kerajaan Perikatan Nasional (PN) membuktikan kesungguhan membanteras aktiviti terlarang dan pada masa yang sama menjaga sentimen umat Islam.
“Video itu terang-terang tidak menghormati sensitiviti umat Islam dan perbuatan itu turut menghina kedudukan agama Islam dalam bulan Ramadan yang mulia ini.
“Saya ucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana mengambil tindakan segera terhadap iklan judi hari raya. Selain itu terima kasih kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tampil berani membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini lapan individu termasuk lima wanita ditahan kerana terbabit dalam penerbitan sebuah iklan mempromosi judi dalam talian bertemakan sambutan hari raya.
Terbaharu, tiga lagi individu ditahan susulan dua lagi video promosi judi dalam talian berdurasi 48 saat dan 30 saat yang tular semalam. – UTUSAN ONLINE










