Top Glove patuhi peraturan ILO - Utusan Malaysia

Top Glove patuhi peraturan ILO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pengurusan Top Glove telah mengambil pelbagai langkah dan tindakan untuk memastikan syarikat pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia itu mematuhi segala peraturan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berkaitan penyalahgunaan tenaga kerja.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, antara tindakan itu ialah mengemukakan laporan yang disediakan perunding antarabangsa dari United Kingdom, Impactt Limited (Impactt) kepada Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) pada 16 Mac lalu untuk dinilai.

Menurut beliau, Impactt menerusi kenyataan pada 9 Mac lalu mengesahkan tiada buruh paksa secara bersistem dalam operasi syarikat berkenaan berdasarkan hasil penilaian yang dijalankan.

“Syarikat itu juga telah mengambil semua langkah yang diperlukan pihak berkuasa AS untuk memastikan semua masalah dapat ditangani dengan segera.

“Pada tahun lalu, syarikat berkenaan membelanjakan RM136 juta bagi mengurangkan bebanan hutang pekerja migran yang dikenakan oleh agensi pekerjaan yang merupakan sebahagian daripada dasar zero cost recruitment dan social compliance audit yang dilaksanakan syarikat sejak 2019,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam tindakan terkini, CBP AS dilaporkan mengeluarkan arahan larangan import terhadap semua sarung tangan pakai buang daripada kilang Top Glove di Malaysia.

Dakwaan yang dibangkitkan CBP itu adalah rentetan dakwaan sebelumnya yang telah dan sedang diambil tindakan penyelesaian oleh Top Glove.

Mohd. Khairuddin berkata, amalan buruh yang baik sentiasa menjadi keutamaan kerajaan Malaysia Prihatin termasuk kementerian ini di semua sektor agrikomoditi.

Ini kerana katanya, Malaysia sememangnya mendukung amalan berkenaan demi kebajikan semua pihak menerusi pemerkasaan setiap undang-undang melibatkan kebajikan pekerja.

Katanya, ini sekali gus sebagai satu pendirian tegas Malaysia menentang amalan buruh paksa.

Komitmen Malaysia itu jelas beliau, dibuktikan melalui Kajian Mengenai Situasi Buruh di Sektor Perladangan yang siap pada tahun lalu dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Perangkaan dan wakil ILO selama dua tahun bermula 2018.

“Kementerian melalui Majlis Getah Malaysia (MRC) dengan kerjasama Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) dan Kementerian Sumber Manusia serta agensi berkaitan sentiasa mengawasi, memantau dan memperingatkan pihak industri untuk mengambil berat kebajikan pekerja di sektor agrikomoditi serta mematuhi undang-undang demi kemaslahatan bersama,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya