Tarik lesen jika peniaga naik harga bahan binaan - Utusan Malaysia

Tarik lesen jika peniaga naik harga bahan binaan

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mana-mana peniaga, pengilang atau pemborong didapati membuat kenaikan harga bahan binaan di bawah senarai Barang Kawalan Berjadual tanpa kebenaran boleh ditarik balik lesen.

Menegaskan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bahan binaan seperti besi, simen dan bar bulat merupakan Barang-barang Kawalan Berjadual yang dikawal lesennya melalui Kementerian di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Justeru, kata beliau, sebarang kenaikan harga barangan tersebut oleh peniaga perlu memaklumkan kepada pihak kementerian dan mendapat kebenaran Pengawal Bekalan bagi tujuan tersebut.

“Sekiranya mana-mana pengilang atau pemborong yang melanggar syarat lesen berkenaan, maka ia boleh diambil tindakan disebabkan melanggar syarat lesen tersebut,” katanya di sini

Alexander berkata, kerajaan melalui kementeriannya juga menguat kuasakan perundangan pencatutan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 .

Oleh itu, kata beliau, mana-mana peniaga yang membuat penetapan harga atau kenaikan harga perlu memastikan ia selaras dengan perundangan pencatutan yang dikuat kuasakan.

Beliau menjelaskan, sekiranya didapati mana-mana peniaga yang membuat kenaikan harga atau penetapan harga melebihi nilai peratusan untung yang dibenarkan bagi suatu tempoh tahun kewangan, maka ia boleh diambil tindakan di bawah akta berkenaan.

Alexander memberitahu, KPDNHEP telah bertindak melaksanakan penguatkuasaan Operasi Catut (OP CATUT) 8.0 khusus bagi bahan binaan bagi tempoh 7 April sehingga 15 April lalu.

Katanya, sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 94 pemeriksaan dilaksanakan di peringkat pengilang dan pemborong bahan binaan yang terdiri daripada simen, bar bulat dan besi.

“Sebanyak 113 notis di bawah Seksyen 21, AKHAP 2011 dikeluarkan kepada pengilang dan pemborong tersebut bagi mendapatkan maklumat jualan dan kos pengeluaran bagi 165 item barangan tersebut.

“Analisis lanjut terhadap pencatutan akan disediakan setelah mendapat maklumat daripada peniaga yang diperiksa bagi mengesan sekiranya peniaga mencatut atau sebaliknya,” katanya.

Walau bagaimanapun, Alexander berkata, kerajaan tidak mengawal harga bahan binaan lain selain daripada Barang Kawalan Berjadual itu dan kenaikan harga barangan dipengaruhi pelbagai faktor.

Ini termasuk, katanya, kenaikan kos mendapatkan bahan mentah khususnya yang diimport, kadar nilai mata wang Ringgit Malaysia yang lebih rendah daripada negara pengimport, logistik, cuaca dan sebagainya.

“Kos-kos bahan utama juga antaranya adalah diimport dari luar negara yang menyebabkan kebergantungan kos import bahan tersebut terhadap nilai mata wang Ringgit Malaysia dengan negara pengimport.

“Isu pandemik Covid-19 juga merupakan antara faktor menyebabkan kesukaran dan kelewatan penghantaran bahan yang diimport,” katanya.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan 70,000 kontraktor kecil, sederhana atau besar berdepan risiko gulung tikar berikutan isu kenaikan harga barang asas binaan yang entah bila akan berakhir sehingga menyebabkan golongan itu terpaksa menanggung kerugian besar.

Perkara itu dibangkitkan Pengerusi Guild of Bumiputra Contractors Berhad (Wibawa), Datuk Ir. Md. Nasir Ibrahim berkata, kenaikan harga bahan asas binaan seperti besi, simen dan pasir naik mendadak daripada 40 peratus hingga 80 peratus hingga menyebabkan kontraktor menanggung kerugian besar.

Dalam memastikan tiada sebarang pakatan atau kartel memanipulasikan harga barang binaan, Wibawa menggesa kerajaan khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR) mewujudkan semula Variation of Price (VOP). -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya