Seniman galak anak seni berpolitik - Utusan Malaysia

Seniman galak anak seni berpolitik

ZED ZAIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain industri tempatan termasuk penyanyi dan pelakon digalakkan menceburi bidang politik negara.

Hanya dengan itu, sebarang masalah yang dihadapi persatuan-persatuan seni dan hiburan tanah air dapat dipermudahkan jika pemain industri dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri dalam Kabinet.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Rozaidi Abd. Jamil atau Zed Zaidi berkata, ketiadaan penyertaan anak seni dalam politik menyebabkan sesuatu masalah sukar ditangani.

Katanya, ada pun usaha dalam membantu industri berkenaan hanyalah daripada individu yang bukan berlatarbelakangkan seni, namun hanya mereka yang terlibat dalam industri seni faham apa yang mereka mahukan.

“Saya setuju artis ceburi bidang politik. Kita semua tahu, daripada politik, seseorang itu boleh menjadi wakil dan melalui wakil itulah seseorang boleh diletakkan sebagai menteri.

“Jadi, kalau mereka dipilih, ia lebih memudahkan persatuan seni berurusan dengan mereka kerana lebih memahami masalah industri seni itu sendiri. Apa sahaja masalah, undang-undang, atau dasar kerajaan kita sudah ada wakil mereka di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Isu artis berpolitik kembali hangat selepas pengarah terkenal, Datuk Afdlin Shauki dan penyanyi rap, Altimet atau nama penuhnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad baru-baru ini secara umum menyertai PKR dan menjadikan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai sumber inspirasi.

Menyorot selebriti tanah air pernah terlibat dalam kancah politik, penyanyi Aishah pernah menyertai Pas dan bertanding sebagai calon di Parlimen Jempol pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), penyanyi veteran Herman Tino bertanding di Parlimen Tanjung Karang atas tiket Bebas namun gagal mendapat kerusi.

Di Indonesia, penyanyi Krisdayanti dan Mulan Jameela yang masing-masing bertanding sebagai calon Partai Demokrasi Indonesia-Perjuangan (PDI-P) dan Partai Gerakan Indonesia Raya antara 575 anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR). Mereka telah mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen bagi penggal 2019 sehingga 2024 selepas memenangi pilihan raya Indonesia pada 17 April 2019.

Dalam pada itu, Zed Zaidi turut menyorot penggiat seni Allahyarham Tan Sri Datuk Jins Shamsuddin yang pernah menjadi Senator. Bagaimanapun, ia berbeza kerana pemilihan wakil rakyat ditentukan melalui pilihan raya manakala Senator secara lantikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Apa pun, kita bersikap terbuka dan menerima perbezaan pandangan kerana ini adalah amalan demokrasi dalam negara. Mereka mahu pilih parti mana terpulang. Pastinya ini bukan sahaja bermanfaat untuk rakyat dan anak seni sendiri malah untuk industri kreatif negara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.