Selagi popular dan boleh menang, tiada masalah bertanding pilihan raya umum - Utusan Malaysia

Selagi popular dan boleh menang, tiada masalah bertanding pilihan raya umum

MOHAMED NAZRI AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Calon yang berusia lebih 65 tahun tidak boleh dihalang daripada bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hanya disebabkan faktor usia.

Selagi seseorang calon itu mempunyai pengaruh dan boleh menang, adalah wajar untuk mereka terus berbakti kepada rakyat di kawasan masing-masing.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Azizi yang berusia 71 tahun berkata, perkara utama dalam politik adalah untuk memenangi kerusi sama ada di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) justeru itu, faktor umur seseorang tidak seharusnya berbangkit.

“Saya setuju golongan muda diberikan kesempatan menjadi calon. Macam saya dulu pun diberi peluang menjadi Senator oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad. Mana yang muda, berpotensi dan ada juga pengalaman, jadi mestilah kita beri mereka peluang bertanding pada pilihan raya.

“Masalahnya adalah rakyat yang mahu calon tersebut dan kita tidak boleh menghalang. Tidak bolehlah kata tidak boleh bertanding. Kena beri rakyat bebas memilih kerana ini kehendak rakyat selagi mereka mahu calon mereka bertanding.

“Kita juga tidak boleh menghukum pengundi-pengundi dengan mengatakan ambil calon yang muda sahaja. Dalam sistem demokrasi, kena bebas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Isu had umur calon bertanding pada PRU-15 berbangkit selepas lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia bergabung untuk menggerakkan gelombang besar-besaran bagi mengajak pengundi memboikot calon berusia 65 tahun dalam pilihan raya. Langkah itu sebagai tindak balas terhadap tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan pelaksanaan pendaftaran untuk pengundi berusia 18 tahun.

Khalid Samad

Senada dengan beliau, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang berusia 64 tahun, berkata, mana-mana pihak tidak sewajarnya mengusulkan had umur tertentu untuk berpolitik kerana tidak dinafikan masih ramai pemimpin sudah lanjut usia namun tetap berbakti kepada rakyat.

“Kalau rasa perkhidmatan orang lama masih diperlukan dan boleh menang apabila bertanding, itu terpulang kepada pengundi. Seperti mana jangan mengehadkan umur dari segi usia muda, begitu juga tidak wajar untuk mengehadkan umur usia tua.

“Selagi seseorang itu masih mampu dan mempunyai kepercayaan daripada rakyat, tidak perlulah nak mengehadkan umur. Terpulanglah kepada pengundi dan parti untuk menilainya,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, (PKR), yang berusia 59 tahun berkata, sesiapa pun tidak berhak untuk menyekat hak dan kebebasan dalam membuat pilihan selagi ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Golongan muda memang wajib dipilih untuk mewakili suara anak muda tetapi janganlah menyekat golongan yang berusia 65 tahun atau lebih kerana telah menyekat hak kebebasan. Kalaulah seseorang calon itu berumur 70 atau 80 tahun, kalau dia sihat apa salahnya?,” soalnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×