Polis bertindak tegas sesiapa rentas negeri sambut raya - Utusan Malaysia

Polis bertindak tegas sesiapa rentas negeri sambut raya

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Polis sedia bertindak lebih tegas kepada mana-mana individu yang cuba merentas negeri untuk pulang ke kampung bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri bulan depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini kebenaran bagi tujuan merentas negeri hanya boleh diberi atas perkara tertentu seperti hal kecemasan.

“Polis boleh menguat kuasa tindakan kepada mereka yang ingkar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) jika cuba merentas negeri,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya hari ini.

Beliau ditanya mengenai langkah diambil pihak berkuasa sekiranya kerajaan masih mengekalkan larangan merentas negeri dan diteruskan sehingga Hari Raya Aidilfitri.

Sebelum itu, beliau memaklumkan bahawa pihak Kementerian Kesihatan setakat ini meminta Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak membenarkan rentas negeri ekoran trend Covid-19.

Ia ujarnya, turut mengambil pengajaran daripada kelonggaran aktiviti rentas negeri pada akhir tahun lalu yang menyaksikan 38 kluster dengan 5,471 kes dilaporkan muncul seluruh negara.

“Walaupun langkah ini (larangan rentas negeri) bukan sesuatu yang disukai sebahagian besar rakyat, tetapi kerajaan harus lakukan untuk menyekat penularan baharu wabak,” tegasnya.

Ismail Sabri turut merujuk data Kementerian Kesihatan sendiri melaporkan lonjakan pandemik berpunca aktiviti rentas negeri termasuk tujuh kluster dengan 423 kes sepanjang bulan ini.

Beliau juga memberi contoh Kluster Pasai di Sarawak dengan 2,693 kes yang asalnya hanya bermula daripada seorang wanita pulang ke negeri itu ketika Krismas sebelum merebak teruk.

Begitu juga Kelantan jelasnya, yang sebelum itu zon hijau namun bertukar kepada merah dan terpaksa dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan ekoran muncul 10 kluster rentas negeri.

“Justeru, seperti mana yang telah diumumkan Kementerian Kesihatan dan pihak polis, saya ulang semula iaitu pergerakan rentas negeri masih lagi kekal tidak dibenarkan,” kata beliau.

Pada masa sama, beliau mengajak rakyat mengambil contoh apa berlaku di India yang telah merekodkan lebih 200,000 kes baharu Covid-19 setiap hari dan sudah melepas 14 juta orang.

Di ibu negaranya, New Delhi sendiri, puluhan hotel dan dewan perkahwinan terpaksa diubah menjadi pusat rawatan pesakit wabak itu ekoran kesesakan dan kekurangan staf di hospital. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya