PN perlu henti sindrom penafian - Utusan Malaysia

PN perlu henti sindrom penafian

AKMAL NASRULLAH MD. NASIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dinasihatkan untuk menghentikan sindrom penafian bagi menggambarkan imej baik kepada rakyat sedangkan realitinya ekonomi negara semakin tenat.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Akmal Nasrullah Md. Nasir berkata, sindrom itu perlu dihentikan dan sepatutnya bersikap lebih jujur, prihatin serta bertanggungjawab dengan telus menyalurkan informasi kepada rakyat yang berhak mengetahui hakikat sebenar.

Menurut beliau, kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berhubung peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dijangka berkembang pada kadar enam hingga 7.5 peratus disangkal oleh pelbagai pihak.

“Kondisi semasa ekonomi negara yang tidak menentu oleh beberapa faktor seperti pelaburan langsung asing yang terjejas teruk, kadar pengangguran yang menghampiri 700,000, serta nisbah bebanan hutang isi rumah yang menganjak hingga 93.3 peratus kepada KDNK turut menambahkan lagi keraguan terhadap unjuran terkini oleh Menteri Kewangan.

“Kerajaan PN dilihat begitu terdesak dalam memaparkan imej baik mereka kepada rakyat walaupun ia sama sekali tidak menggambarkan realiti sebenar terhadap apa yang berlaku mutakhir ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akmal berkata, unjuran tersasar itu bukan kali pertama berlaku di bawah pentadbiran PN.

Katanya, KDNK bagi tahun lalu yang diunjurkan sebelum ini menyusut kepada -5.6 peratus berbanding yang diunjurkan oleh Menteri Kewangan melalui Laporan Tinjauan Ekonomi 2021 iaitu pada kadar -4.5 peratus.

“Ketika itu, banyak teguran dan nasihat diberikan termasuklah oleh Ketua Pembangkang dan kenyataan itu turut disokong dengan unjuran yang dikemukakan oleh organisasi antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia.

“Secara realistiknya, penyusutan KDNK -5.6 peratus pada tahun 2020 ditambah dengan kondisi semasa ekonomi negara tidak memungkinkan suatu lonjakan luar biasa KDNK tahun 2021,” ujarnya.

Katanya, sebelum ini inflasi yang turut diunjurkan menguncup pada tahun 2021 juga meleset apabila terkini dijangka akan melepasi paras lima peratus menjelang suku kedua nanti.

Jelasnya, ini sudah pasti mencalarkan kredibiliti Menteri Kewangan yang dilihat tidak cekap menguruskan kewangan negara ditambah dengan kegagalan kerajaan membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) telah meletakkan negara dalam dilema yang luar biasa dari sudut pengurusan ekonomi dan kewangan.

“Oleh itu, saya menyeru agar kerajaan meneliti dan mengkaji kembali angka-angka yang dilihat tidak lebih dari sekadar ‘alat solek’ bagi mencantikkan imej kerajaan walaupun hakikatnya Malaysia sedang berada dalam krisis ekonomi yang begitu membimbangkan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya