Penternak kian terbeban dedak mahal - Utusan Malaysia

Penternak kian terbeban dedak mahal

Gambar hiasan - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Penternak lembu dan kambing di negeri ini mendakwa semakin terbeban dengan kenaikan harga dedak ternakan tersebut yang melambung tinggi dan tidak terkawal di pasaran sejak tahun lalu.

Malah, kenaikan harga makanan ternakan itu didakwa meningkat setiap minggu antara RM2.50 hingga RM5 sekilogram mengikut jenama dan kualiti dedak tersebut.

Kenaikan harga dedak itu juga menyebabkan harga daging lembu meningkat dari RM38 sekilogram kepada RM40 di negeri ini pada bulan Ramadan ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penternak, Abdul Hadi Yusoff, 36, dari Kuala Nerang dekat sini berkata, kenaikan harga dedak tersebut dijangka terus meningkat sekiranya tidak dikawal oleh kerajaan.

Malah, katanya, bekalan dedak komersial juga didapati semakin sukar di pasaran sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, dia menggunakan dedak komersial 2,000 kilogram (kg) untuk menampung keperluan ternakan 116 ekor lembu dan 100 kambing serta biri-biri.

“Pada masa ini, harga dedak yang paling murah dijual pada harga RM38 bagi setiap satu guni seberat 50kg dan paling mahal pula berharga RM76 bagi setiap guni tersebut.

“Difahamkan, pengilang dan pengedar dedak itu menaikkan harga disebabkan harga jagung dan kacang soya yang diimport semakin tinggi.

“Malah, harga isirong kelapa sawit yang merupakan bahan utama menghasilkan dedak juga tinggi berikutan harga pasaran kelapa sawit meningkat di pasaran,” katanya di sini, semalam.

Sehubungan itu, katanya, dia dan penternak lain terpaksa menghasilkan dedak alternatif untuk meringankan beban berikutan kenaikan harga dedak yang tidak terkawal itu.

Jelasnya, dedak alternatif yang dibuat sendiri itu diadun berasaskan sumber daripada pokok kelapa sawit dan jerami padi bagi mengurang kos membeli dedak di pasaran.

“Saya dapat mengurangkan perbelanjaan kira-kira 50 peratus sekiranya memproses sendiri dedak untuk ternakan,” ujarnya.

Sementara itu, seorang penternak ayam dari Sik, Rosli Sharif, 70, berkata, dia difahamkan harga dedak akan meningkat sehingga mencapai RM10 bagi setiap guni dedak seberat 50 kilogram dalam masa terdekat ini.

Dia yang menternak kira-kira 20,000 ekor ayam terpaksa mendapatkan bekalan dedak sebanyak 70,000kg setiap satu musim ternakan yang mengambil masa selama 40 hari.

“Kenaikan harga dedak tersebut akan membebankan penternak ayam memandangkan mereka terikat dengan kontrak harga ayam di ladang dengan syarikat-syarikat pemborong ayam.

“Kebiasaannya harga ayam di ladang hanya dijual RM4.20 sekilogram dan pemborong pula menjual ayam tersebut kepada peruncit pada harga antara RM7 hingga RM8 sekilogram,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya