Peniaga daging tak peduli harga kawalan - Utusan Malaysia

Peniaga daging tak peduli harga kawalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Peniaga daging lembu tempatan negeri ini pula dihimpit isu kenaikan harga apabila terpaksa dijual pada harga RM38 hingga RM40 sekilogram semalam.

Daging lembu tempatan tersenarai dalam 12 barangan harga terkawal dengan penetapan harga runcit RM34 sekilogram menerusi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 bermula semalam sehingga 20 Mei depan.

Bagaimanapun, tinjauan Utusan Malaysia di pasar awam Daerah Barat Daya dan Timur Laut di sini mendapati, berlaku ketidakseragaman berhubung penetapan harga dalam kalangan peniaga-peniaga yang rata-rata menjual dengan harga jauh lebih tinggi daripada ditetapkan dalam SHMMP 2021.

Ketika ini, harga daging lembu import dijual sekitar RM20 hingga RM24 sekilogram manakala daging kerbau import India RM20 sekilogram.

Seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Razak, 59, berkata, tindakan pihak pembekal yang enggan menurunkan harga memaksa peniaga menetapkan harga paling minimum.

Dakwanya, isu kenaikan harga bermula di peringkat pembekal apabila mereka masih menetapkan harga bagi daging lembu tempatan sekitar RM30 hingga RM32 sekilogram ketika ini.

“Bagaimana kami hendak menjual mengikut skim harga maksimum iaitu RM34 sekilogram sedangkan seekor lembu yang dibeli didatangkan dengan tulangnya sekali.

“Perkara ini boleh selesai sekiranya pihak pembekal menurunkan harga kepada RM25 hingga RM27 sekilogram.

“Saya memang akan tutup kedai sekiranya daging tempatan terpaksa dijual pada harga RM34 mengikut pelaksanaan skim yang ditetapkan kerana kami berdepan kerugian sebanyak RM1,500 bagi setiap seekor lembu,” keluhnya kepada Utusan Malaysia di sini.

Jelas Razak, dia berharap pihak berkuasa memandang serius perkara tersebut dan menyelesaikan segera masalah yang menghimpit peniaga daging tempatan ketika pelaksanaan SHMMP.

Sementara itu, seorang pembekal daging tempatan yang mahu dikenali sebagai Wan berkata, pihaknya juga terkesan dengan situasi kenaikan harga daging lembu tempatan ketika ini.

“Di peringkat pembekal, kami terpaksa berdepan dengan kenaikan harga dedak sejak awal Januari lalu hingga kini iaitu antara RM10 hingga RM12 bagi setiap satu beg 50 kilogram dedak. Ini belum termasuk kenaikan kos pengangkutan.

“Bukan itu sahaja, kami juga menanggung kenaikan harga lembu hidup iaitu daripada RM11 kepada RM15 sekilogram. Kami harap pihak kerajaan memahami situasi yang berlaku dan juga yang dihadapi pihak pembekal ketika ini,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.