"Patuhi Perlembagaan UMNO" - Ahmad Zahid - Utusan Malaysia

“Patuhi Perlembagaan UMNO” – Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi (dua dari kanan) bersama jemaah selepas menunaikan solat Jumaat di Masjib Al-Falah, Sungai Nipah, Rungkup di Bagan Datuk hari ini. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: “Saya kembali kepada apa yang tercatat dalam Perlembagaan UMNO”.

Itu jawapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kepada pihak yang mendesak beliau meletak jawatan.

Menurutnya, semua pemimpin dan ahli parti perlu menghormati Perlembagaan parti selepas beliau menerajui parti menerusi pemilihan oleh ahli UMNO sendiri.

“Desakan (meletak jawatan), saya kembali kepada apa yang tercatat dalam Perlembagaan UMNO dan peratuan mesyuarat.

“Semua pihak, bagai ahli parti harus akur dan patuh kepada apa yang dicatatkan dalam Perlembagaan berkenaan dan mematuhinya kerana kita ahli parti sama ada di peringkat atasan, pertengahan atau akar umbi.

“Pegangan kita adalah kepada Perlembagaan parti dan peraturan mesyuarat sedia ada,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas menunaikan solat Jumaat di Masjib Al-Falah, Sungai Nipah, Rungkup di sini hari ini.

Mengenai rakaman audio yang mengaitkan beliau dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahmad Zahid berkata, beliau telah mengarahkan pegawainya untuk membuat laporan polis.

“Saya dimaklumkan mereka telah mengadakan perbincangan dengan pihak peguam untuk melihat aspek perundangan bagi laporan itu supaya ia lengkap.

“Saya serahkan sepenuhnya atas budi bicara peguam dan pegawai-pegawai saya untuk buat laporan polis mengikut kesesuaian tarikh dan masa mereka,” katanya.

Ditanya sama ada beliau mengesyaki mana-mana pihak dalam isu rakaman audio yang tular itu, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak perlu mengesyaki sesiapa atau mana-mana pihak.

“Hasil daripada siasatan nanti akan diteliti oleh pihak berkuasa,” katanya.

Mengenai pihak yang mendakwa rakaman itu tulen, Ahmad Zahid berkata, banyak komen-komen dalam media sosial mengenai rakaman itu dan beliau dengan hati terbuka membaca dan meneliti semua komen itu.

“Saya merasakan komen-komen itu adalah pendapat peribadi dan saya tak perlu melayani sebarang komen-komen positif atau negatif mengenai audio berkenaan. Saya yakin mereka mempunyai pendapat masing-masing yang harus dihormati,” katanya.

Ahmad Zahid menegaskan, beliau tidak perlu mengulas sama ada isu rakaman audio itu memberi kesan kepada UMNO dalam apa keadaan sekali pun termasuk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya, beliau berpegang kepada ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 pada 28 Mac lalu iaitu sebarang perbincangan dengan parti lain hanya akan dibuat selepas keputusan PRU-15.

“Kita terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan pihak mana sekali pun asalkan kita dapat bersama-sama untuk bentuk kerajaan selepas PRU nanti.

“Saya tak menjangkakan sebarang perbincangan sebelum pembubaran Parlimen atau sebelum keputusan PRU setelah rakyat memberikan kepada calon-calon parti yang bertanding,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya