PAHANG: Harga barang basah dijangka terus naik menjelang Aidilfitri - Utusan Malaysia

PAHANG: Harga barang basah dijangka terus naik menjelang Aidilfitri

PENIAGA daging import Shamsul Bahri Mohd Nazri, masih kekalkan harga RM21 bagi daging import.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Harga ayam proses di negeri ini dijangka kekal RM9.90 sekilogram atau mengalami sedikit penurunan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Seorang peniaga ayam di Pasar Besar Kuantan, Muhammad Nazri Ishak, 45, tidak menafikan ketika ini harga ayam proses agak mahal berbanding seminggu sebelum puasa.

“Sebelum puasa harganya sekitar RM8 hingga RM8.60 sekilogram tetapi meningkat RM9.60 sebaik sahaja umat Islam mula berpuasa dan hari ini dijual pula pada harga RM9.90 sekilogram.

“Sama ada harganya terus kekal atau berlaku perubahan naik atau turun, kena tunggu seminggu sebelum hari raya apabila pihak kerajaan mula membuat skim kawalan harga.

“Kenaikan harga ketika puasa memang sudah dijangkakan kerana ia ‘mainan’ pembekal yang sewenang-wenangnya menaikkan harga kerana permintaan terhadap ayam proses selalunya tinggi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Peniaga daging import, Shamsul Bahri Mohd. Nazri, 48, berkata, ketika ini dia masih mengekalkan harga daging lembu RM21 sekilogram walaupun ada peningkatan harga daripada pembekal.

“Saya kekalkan harga kerana ia masih menguntungkan dan tidak mahu membebankan pelanggan terutama ketika hampir semua barang keperluan dapur terutama barang basah mengalami kenaikan harga.

“Jika peningkatan harga agak ketara, kami juga terpaksa naikkan harga kerana perlu menampung kos sampingan lain pula,” katanya.

Peniaga sayur, Nazrul Harun, 29, pula berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan segera mengatasi masalah kenaikan harga yang ada antaranya tidak masuk akal.

“Seminggu sebelum puasa lagi kebanyakan barang basah yang dibeli daripada pembekal naik harga.

“Kerajaan perlu pantau masalah ini. Kami tersepit antara pembekal dan pembeli. Walaupun harga daripada pemborong tinggi, kami masih jual pada harga sama kerana simpati dengan pelanggan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya