NUTP: Tutup sekolah yang ada kes sahaja - Utusan Malaysia

NUTP: Tutup sekolah yang ada kes sahaja

Gambar hiasan. -UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) melihat tiada keperluan menutup semua sekolah buat masa ini malah cukup sekadar sekolah yang berada di kawasan berisiko sahaja.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden NUTP, Aminuddin Awang berpendapat, apa yang sedang berlaku sekarang, murid-murid mengalami
‘kemiskinan pembelajaran’ kerana tidak banyak masa hadir belajar bersemuka di sekolah.

“Ini kerana impak pengajaran dan pembelajaran hanya berlaku melalui kehadiran murid secara bersemuka di sekolah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sehubungan itu katanya, sekolah yang perlu ditutup adalah di kawasan berisiko tinggi manakala sekolah di kawasan zon hijau atau rendah risiko perlu diteruskan persekolahan mengikut takwim dengan penggiliran kehadiran.

“Ini kerana sistem penggiliran kehadiran adalah penting agar masalah kesesakan murid di sekolah dapat dielakkan yang secara langsung mampu mengelakkan penyebaran wabak Covid-19.

“Sistem penggiliran ini juga boleh dibuat melalui beberapa tahap iaitu antara Tahap Satu dengan Tahap Dua.

“Tahap Satu iaitu tahun satu, dua dan tiga hadir pada Ahad, Isnin dan Selasa manakala Tahap Dua iaitu tahun empat, lima dan enam hadir pada Rabu dan Khamis,” katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan cadangan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) supaya semua sekolah ditutup buat sementara waktu dan dilaksanakan kembali proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi mengurangkan risiko penularan kes Covid-19 di sekolah.

Dalam pada itu, Presiden i-Guru, Mohd. Azizee Hasan berkata, keputusan penutupan sekolah perlu melihat kepada situasi di sesebuah kawasan terlebih dahulu.

“Bagi sekolah yang berisiko tinggi dan dikategorikan sebagai zon merah, maka wajar sekolah tersebut ditutup buat sementara waktu, namun bagi sekolah-sekolah yang berada di bawah zon hijau maka tidak perlu.

“Bagaimanapun, jika Kementerian Pendidikan mengumumkan penutupan semua sekolah maka sistem PdPR perlu diteruskan.

“Tetapi pihak kementerian perlu kemas kini terlebih dahulu sistem tersebut terutamanya dari sudut kualiti pengajaran guru selain akses internet dan penyediaan alat peranti seperti yang dijanjikan sebelum ini,” katanya.

Tambah Azizee, sistem sokongan yang mantap juga perlu demi memastikan tiada yang tercicir dalam mengikuti PdPR terutama anak- anak luar bandar.

“Apa yang lebih penting adalah kelangsungan pembelajaran perlu diteruskan dalam apa jua keadaan dan kementerian perlu ada pelan kontingensi dalam menangani hal ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×