fbpx

Najib guna dana SRC berbelanja mewah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan semalam diberitahu bahawa perbelanjaan mewah yang dibuat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Itali dan Honolulu, Hawaii menunjukkan Ahli Parlimen Pekan itu mengetahui dana RM42 juta dari SRC International Sdn. Bhd telah dimasukkan ke dalam akaunnya.

Bukti yang dikemukakan pihak pendakwaan juga menunjukkan Najib sengaja membutakan matanya mengenai asal usul dana tersebut dan ia tidak disangkal oleh pihak pembelaan.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc, Datuk V. Sithambaram, berdasarkan bukti yang dikemukakan, Najib telah membelanjakan RM42 juta itu sebaik sahaja ia dimasukkan ke dalam akaunnya.

“Adalah jelas bahawa perayu (Najib) telah menggunakan dana yang diperoleh daripada SRC International berdasarkan bukti yang dikemukakan. Tiada inferens lain yang boleh dibuat selain menunjukkan perbelanjaan perayu.

“Perbelanjaan yang dibuat menunjukkan beliau tahu dana RM42 juta dari SRC International telah dimasukkan ke akaun peribadinya. Sebagaimana dapatan hakim bicara, terdapat banyak fakta yang menunjukkan pengetahuan Najib berhubung dana tersebut termasuklah pengakuan perayu sendiri. Tiada sebarang keterangan atau bukti lain ditunjukkan oleh perayu atau sewaktu perbicaraan untuk menunjukkan sebaliknya,” kata Sithambaram.

Sewaktu perbicaraan, Najib mengakui isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor telah membeli barang kemas bernilai RM3,282,734.16 daripada butik De Grisogono di Itali, menggunakan kad kreditnya sebagai hadiah untuk isteri bekas Perdana Menteri Qatar, Sheikh Ahmed Jassim Al Thani iaitu ahli perniagaan berketurunan kerabat Al Thani.

Najib juga memberitahu, beliau telah membeli jam tangan AS130,625 (RM466,330.11) di butik Chanel menggunakan kad kredit miliknya untuk memujuk wanita itu kerana terpaksa memendekkan percutian keluarga mereka di Honolulu, Hawaii.

Selain itu, bukti turut menunjukkan perayu telah mengeluarkan 14 keping cek untuk pelbagai kegunaan peribadi dan sumbangan politik termasuk pengubahsuaian kediaman peribadi beliau di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur.

Sebahagian dana tersebut digunakan untuk pembayaran kad-kad kredit Najib dan pembayaran balik pinjaman yang diperoleh daripada syarikat-syarikat milik Kumpulan Putra Perdana Berhad.

Pendakwa Raya itu berhujah demikian ketika membuat hujahan balas terhadap rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana syarikat SRC International berjumlah RM42 juta.

Terdahulu, pihak pendakwaan menghujahkan bahawa pembelaan Najib bahawa wang RM42juta adalah derma daripada Arab Saudi, hanyalah satu rekaan yang lemah.

Tambahnya, ketika memberi keterangan, Najib sendiri tidak pernah memberikan menyatakan mengenai janji Raja Abdullah berhubung derma kewangan.

Selain itu, saksi-saksi pembelaan sendiri; bekas Duta Malaysia ke Arab Saudi, Profesor Datuk Syed Omar Syed Mohamad Al-Saggaf (DW4), bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (DW5) dan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman (DW6), telah memberikan keterangan bercanggah.

“Perayu dalam keterangannya hanya menyatakan Raja Abdullah telah memberikan sokongan namun kemudian menyatakan beliau hanya mengetahui mengenai sokongan dari segi kewangan melalui Jho Low.

“DW4 dan DW6 juga tidak dapat mengesahkan perkara tersebut (derma) kerana tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai pertemuan Najib dan Raja Arab Saudi dan hanya mengetahuinya selepas dimaklumkan oleh Najib. Hanya DW5 dikatakan telah mendengar dan mengesahkan janji yang dibuat oleh Raja Abdullah untuk memberikan sokongan kewangan,”kata Sithambaram.

Bagaimanapun, DW4,DW5 dan DW6 memberikan keterangan bercanggah sama ada janji mengenai sokongan kewangan itu dibuat sewaktu pertemuan rasmi di antara 13-16 Januari 2010 atau pada 11 Januari 2010.

“Sesuatu yang luar biasa apabila perayu boleh memberikan keterangan yang terperinci mengenai pertemuannya dengan Raja Abdullah kepada DW4, DW5 dan DW6 selepas mereka menyertai beliau dalam lawatan rasmi beliau yang mana Najib dianugerahkan anugerah tertinggi kerajaan Arab Saudi, King Abdul Aziz Order of Merit (Kelas Pertama), menerima kain kiswah dan janji kerajaan Arab untuk menaikkan kuota haji.

“Bagimanapun, perincian paling utama dan yang paling penting untuk pembelaanya sendiri, Najib tidak memberikan keterangan mengenai janji sokongan kewangan Raja Arab. Tiada sebarang penjelasan kenapa fakta penting ini tertinggal daripada keterangan perayu yang merupakan teras utama pembelaan Najib,” kata Sithambaram.

Rayuan yang memasuki hari ke-11 didengar Hakim Datuk Karim yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Hakim Vazeer bersambung hari ini.- UTUSAN ONLINE

×
×