PETALING JAYA: Perhimpunan Agung Luar Biasa (EGM) dilihat antara pilihan untuk pihak tertentu yang mendesak supaya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berundur daripada jawatannya sebagai Presiden UMNO.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub mengakui perkara itu menjadi agenda pihak tertentu dalam parti, selepas terdapat desakan beberapa pemimpin parti untuk mengadakan pemilihan dengan segera.
Bagaimanapun, beliau berkata, pemilihan parti perlu mematuhi perlembagaan parti dan hanya boleh diadakan sekitar bulan Oktober atau November.
“Memang ada pihak mahukan EGM, dengan membawa usul sama ada untuk menarik balik keputusan soal kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan satu lagi mendesak supaya Ahmad Zahid berundur.
“Tarikh hayat barisan Majlis Tertinggi (MT) bagi sesi 2018-2021 berakhir pada bulan Jun ini, tetapi kalau nak buat pemilihan selepas itu, 21,000 cawangan dan 191 bahagian perlu bermesyuarat terlebih dahulu lepas itu baru MT akan bermesyuarat. Jadi dijangka bulan Oktober atau bulan November baru boleh adakan pemilihan,” katanya.
Terdapat fasal dalam Perlembagaan UMNO yang membolehkan EGM diadakan dengan segera.
Dalam Fasal 9.11, jika semua Ahli MT berhenti serentak maka Pengerusi Tetap atau Timbalannya hendaklah dalam tempoh tidak lebih daripada 60 hari mengadakan EGM bagi menubuhkan semula MT dan Perhimpunan Agung itu hendaklah menetapkan tempoh perkhidmatan MT yang baru ditubuhkan itu.
Bagi soal peletakan jawatan presiden parti, Fasal 9.12 menyebut jawatan Ahli MT termasuk Presiden dan Timbalan Presiden boleh dilucutkan atau MT dibubarkan oleh EGM dengan undian tidak kurang daripada dua pertiga daripada jumlah bilangan ahli yang berhak hadir. – UTUSAN ONLINE










