Mengapa Program MySTEP tidak dilaksana untuk atasi pengangguran ? - Utusan Malaysia

Mengapa Program MySTEP tidak dilaksana untuk atasi pengangguran ?

Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu melaksanakan segera Program Kerja Jangka Pendek (MySTEP) yang bernilai RM700 juta bagi menawarkan 50,000 peluang pekerjaan terutama kepada graduan menganggur.

Program itu membolehkan golongan menganggur mendapat pekerjaan secara kontrak dalam sektor awam dan Syarikat Milik Kerajaan (GLC).

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata, walaupun program tersebut dijangka bermula pada Januari tahun ini, sudah tiga bulan berlalu dan tiada sebarang petanda MySTEP akan dilaksanakan secara serius.

Menurutnya, lebih menggusarkan apabila MySTEP sudah pun diluluskan di bawah program Penjana Kerjaya di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), namun, tiada usaha ke arah itu.

“Saya menggesa kerajaan memberi penekanan tentang perkara ini. Isu pengangguran dalam negara terutama graduan institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta sangat membimbangkan.

“Kerajaan sebelum ini bercadang memberi peluang pekerjaan kepada rakyat. Sampai sekarang pun belum ada apa-apa lagi. IPT sudah berlambak seiring dengan pertambahan graduan belum bekerja. Peluang pekerjaan pula berkurang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Pada pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat 6 November tahun lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memperkenalkan MySTEP dengan menawarkan 35,000 peluang pekerjaan di dalam sektor awam dengan perjawatan seperti jururawat, atendan perubatan, pegawai kebajikan masyarakat serta guru sementara.

15,000 peluang pekerjaan dalam syarikat GLC pula mnegutamakan bidang teknikal dan kewangan serta turut dipanjangkan kepada graduan untuk menjalani program perantisan.

Jabatan Perangkaan merekodkan pengangguran di negara ini mencecah 777,500 orang manakala statistik www.jobsmalaysia.gov menunjukkan 174,327 pemohon pekerjaan adalah dalam kalangan siswazah.

Dalam pada itu, Adnan berkata, kerajaan perlu melihat semula tawaran perjawatan dan kelayakan kemasukan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) apabila ramai pemohon mempunyai kelayakan Ijazah Sarjana Muda dan Diploma memohon jawatan peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Beliau mencadangkan agar pemohon yang ditawarkan pekerjaan peringkat SPM meskipun berkelulusan tinggi diberikan elaun khas atau imbuhan kerana telah menggunakan kepakaran masing-masing untuk jawatan yang jauh lebih rendah.

“Kerajaan tidak akan rugi pun. Mereka ini sepatutnya dibayar dengan gaji setimpal dengan pendidikan mereka tetapi menyandang jawatan rendah. Sudah pasti mereka dibayar dengan kadar yang rendah juga,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN