Media tidak bebas selagi kerajaan kawal - Utusan Malaysia

Media tidak bebas selagi kerajaan kawal

Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Amalan kebebasan media di negara ini sukar dikecapi selagi wujud kawalan dan ‘teguran’ daripada kerajaan sehingga mengakibatkan syarikat media tiada pendirian tetap malah tidak berani bersuara.

Akibat tekanan itu, tidak hairanlah terdapat syarikat media di saluran televisyen, radio, akhbar cetak dan dalam talian hanya menerbitkan cerita-cerita memuji kerajaan sedangkan media memainkan peranan besar sebagai semak dan imbang antara kerajaan serta masyarakat.

Presiden Persatuan Pengajar Kewartawanan Malaysia (MJTS), Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad Merican berkata, media tidak seharusnya menjalin hubungan secara terus dengan kerajaan yang dibimbangi mempengaruhi kewibawaannya dalam menyalurkan maklumat kepada awam.

“Dari dahulu sehingga sekarang, kerajaan akan menegur penyunting berita jika berita yang dilepaskan kurang berpihak kepada mereka. Ini hakikat yang berlaku. Inilah sebenarnya yang melemahkan institusi kewartawanan kerana sudah hilang punca kuasa terutama akhbar Melayu.

“Dari segi pemilikan pula, masih ada parti politik yang memiliki akhbar, radio dan televisyen walhal di dalam syarikat komersial. Ini tidak baik untuk kebebasan akhbar dan negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Wartawan Tanpa Sempadan atau Reporters Without Borders (RSF) merekodkan Malaysia berada di kedudukan 119 daripada 180 negara yang tersenarai dalam Indeks Kebangsaan Media Dunia 2021 sekali gus menyaksikan negara ini jatuh 18 anak tangga berbanding tahun lalu di kedudukan 101.

Kemerosotan itu dikatakan berpunca daripada tindakan kerajaan melaksanakan Ordinan Darurat Kuasa-Kuasa Perlu (No. 2) 2021 yang mengekang berita palsu, kebangkitan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang didakwa sebagai propaganda kerajaan dan beberapa akta dilihat menyekat kebebasan media.

Senada dengan beliau, Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Media dan Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Badrul Redzuan Abu Hassan berkata, tidak mustahil kebebasan media di Malaysia berada jauh lebih rendah berbanding negara lain.

Ini terutama apabila banyak isu yang dibongkarkan media antarabangsa berkait dengan golongan elit sedangkan wartawan tempatan masih terikat dengan etika, tapisan dan pelepasan berita yang mengekang kebebasannya dalam menyampaikan laporan.

“Pengamal media terus tertekan dengan penguatkuasaan agresif oleh kerajaan dengan kes-kes pendakwaan atau kompaun yang mampu bertindak sebagai amaran untuk menapis kandungan berita palsu yang dimuatnaik.

“Kebajikan petugas media akan terjejas jika media yang beroperasi dilihat tidak sehaluan dengan pemerintah. Penggantungan lesen media yang berlarutan boleh mencetuskan krisis kewangan yang memberi kesan kepada seluruh industri,” katanya.

Bagaimanapun, Pensyarah Kanan Kewartawanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Mohd. Amirul Akhbar Mohd. Zulkifli menolak laporan yang dikeluarkan RSF kerana membuat penilaian berat sebelah.

“Kebebasan media setiap negara adalah berbeza malah sistem demokrasi yang dimiliki juga berbeza. RSF kena buktikan bahawa Jasa telah menyebabkan kebebasan media terhalang.

“Akta sedia ada bukan digunakan sewenang-wenangnya. Apa jadi kalau tiada undang-undang? Adakah RSF akan bertanggungjawab jika berlaku anarki di Malaysia?,” soalnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN