KUALA LUMPUR : Pelakon popular, Datin Seri Maria Farida Atienza, 52, menafikan beliau sudah bertudung seperti tular dalam media sosial.
Menurut Maria, sudah banyak kali dia memuat naik gambar seperti itu dalam Instagramnya malah gambar yang tular itu pun sudah dirakam dua tahun lalu.
“Tidaklah, saya belum bertudung. Ini pun saya sedang berada di salon.
“Sajalah kongsikan gambar tersebut sebab nak ambil mood Ramadan. Itu pun gambar lama, dua tahun lepas semasa sedang menjalani sesi fotografi produk kosmetik saya,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Menurutnya, dia sudah biasa ditegur tentang keiinginan untuk bertudung memandangkan faktor usia dan ramai kalangan teman seangkatan sudah berimej muslimah.
Bagaimanapun, kata Maria, segala teguran yang baik diterimanya dengan baik dan berterima kasih kepada peminat dan pengikut yang sentiasa mendoakan dirinya.
“Adakala tertekan juga apabila ramai yang nak tegur. Tapi, saya belum dapat seru itu lagi. Saya tak nak pakai tudung hanya untuk puaskan hati orang. Biarlah kita pakai dengan hati yang ikhlas.
“Apabila sudah bersedia, saya memang akan buat betul-betul. Tak ada istilah 50/50. Baju ketat-ketat semua tak akan pakai dah. Saya kata begitu sebab tengok ramai sahaja wanita di luar sana yang bertudung, tapi pakaian masih ketat-ketat.
Selain itu, kata Maria, dia tidak gemar dengan segelintir warga net yang tidak beradab ketika memberi teguran kerana baginya, cara tersebut tidak kena pada niat mereka.
“Mungkin, niatnya baik untuk menegur, tetapi macam tak ada adab. Suami saya pun tak paksa, kenapa orang luar pula yang melebih-lebih? Daripada nak puaskan hati orang luar, lebih baik saya puaskan hati suami,”katanya.
Maria berkahwin dengan seorang ahli perniagaan, Datuk Rahman Shakur, 68, pada November 2015 yang merupakan perkahwinan kali kedua pelakon filem Datin Ghairah dan Anak Mami Nasi Kandaq itu.
Menerusi perkahwinan terdahulu, Maria dikurniakan seorang anak lelaki, Mizan Ashley, 24. – UTUSAN ONLINE










